Melancong keluar negara sentiasa mengujakan. Terdapat banyak perkara yang dapat dilihat dan aktiviti yang boleh dibuat. Ini adalah antara sebab anda mungkin lupa untuk memeriksa barang-barang anda. Kehilangan passport atau dicuri adalah perkara biasa yang akan terjadi sewaktu melancong. Perkara ini boleh terjadi bukan sahaja pada ‘traveller’ baru tapi yang berpengalaman juga tidak terlepas.
Apa yang perlu dibuat jika terjadi kepada anda? Pertama sekali jangan panik. Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menghadapi situasi ini.
BACA: Barang Yang Perlu Bawa Ketika Travel
1. Laporkan Pada Balai Polis Berhampiran.
Bila anda menyedari pasport anda telah hilang atau dicuri, benda pertama yang perlu anda lakukan adalah mencari balai polis yang berdekatan dan buat laporan tentang dokumen yang hilang.
Jika pasport anda dicuri, proses ini sekurang- kurangnya akan melindungi anda dari sesiapa yang akan menyalahgunakan pasport anda.
Selepas laporan dibuat, pihak polis akan memberikan anda laporan yang menerangkan bagaimana pasport anda boleh hilang atau dicuri. Laporan ini sangat penting dan anda perlu membuat beberapa salinan supaya anda sentiasa ada simpanan jika anda memerlukannya nanti.
2. Hubungi Pihak Kedutaan.
Selepas anda membuat laporan polis dan mendapatkan salinan laporan polis anda, perkara seterusnya yang anda perlu buat adalah terus ke pihak kedutaan. Dalam perjalanan ke kedutaan atau sebelum kesana anda perlu mengambil gambar saiz pasport terlebih dahulu.
Tips: Jika anda keluar negara, perlu untuk anda membawa 2 atau 3 keping gambar pasport dan salinan pasport anda supaya bila terjadinya kes ini, ia akan menjimatkan duit anda dan mempercepatkan proses.
Setibanya anda di kedutaan, anda perlu membuat laporan sekali lagi tentang kehilangan pasport anda, dan berikan sekali laporan polis yang telah anda buat. Perkara yang akan ditanya adalah bila tarikh anda akan berlepas pulang ke negara asal anda, supaya mereka boleh menyediakan dokumen perjalanan kecemasan sementara untuk membantu anda melakukan perjalanan ke destinasi seterusnya dengan selamat.
Pihak kedutaan mungkin akan menyuruh anda mengisi borang lain selain dari borang kehilangan passport yang anda isi di balai polis. Borang ini kebiasaanya borang permohonan passport sementara.
Anda juga harus ingat bahawa kebiasaanya kedutaan tidak bekerja pada hujung minggu atau cuti umum, jadi pasport kecemasan anda mungkin akan dapat lebih dari sehari.
Apa yang anda boleh lakukan adalah menggunakan salinan laporan polis sementara menunggu pasport kecemasan anda siap.
3. Simpan Dokumen Penting
Sewaktu melancong, simpanlah dokumen anda di beberapa tempat. Jangan bawak semuanya di dalam beg yang sama.
Menyimpan semua dokumen penting di tempat yang sama bukanlah satu idea yang baik. Anda boleh meninggalkan satu salinan dokumen anda di dalam beg pakaian di hotel anda, dan membawa salinan yang lain dan passport asal bersama anda tetapi didalam beg yang berbeza.
Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berhati-hati semasa bercuti dan peka dengan keadaan sekeliling. Tak salah juga kalau kita buat persediaan lengkap sekiranya berlaku musibah. Di sini juga kami senaraikan apa yang perlu anda buat sebelum travel keluar negara:
- Dapatkan alamat dan no telefon kedutaan, konsulat Malaysia di negara yang anda pergi atau negara yang terdekat dengan tempat travel anda.
- Membawa beberapa salinan passport dan ambil gambar di telefon bimbit anda.
- Bawa gambar size passport 2 atau 3 keping sebagai ‘backup’.
Selamat bercuti ya!