Festival aneh yang berlaku di seluruh dunia!
Kadar populasi manusia di seluruh dunia yang kini sudah mencecah 7.8 bilion dijangkakan bakal mencecah 8 bilion menjelang tahun 2023. Dengan jumlah populasi sebanyak ini, tipulah sekiranya dunia tidak dipenuhi dengan keunikan ragam dan perangai manusia yang berbagai.
BACA: Festival Menarik di Jeju
Siapa sangka kegilaan manusia di dunia pada era globalisasi ini menyumbang kepada sambutan pelbagai festival-festival aneh dan luar biasa di serata negara bergantung kepada musim.
Jika pada zaman dahulu kala hanya ada perayaan yang melibatkan aspek kesenian, kebudayaan dan keagamaan tetapi kini semakin banyak festival yang dibuat semata-mata hanya sekadar untuk menghilangkan bosan ataupun sebagai ujikaji.
Daripada festival pertarungan makanan ke festival lumpur ke festival muzik bawah air, berikut antara festival-festival paling luar biasa yang sebenarnya disambut di seluruh dunia!
‘Baby-jumping Festival’ – Sepanyol
Festival ini dilakukan di bahagian utara Sepanyol sejak 400 tahun yang lepas. Pada hari perayaan Katolik Corpus Christic pada bulan Mei atau Jun setiap tahun, kaum lelaki yang berpakaian seperti syaitan akan melompat ke atas bayi baru lahir sehingga berusia 12 bulan yang diletakkan diatas tilam di seluruh bandar.
Ini dikatakan untuk tujuan menghapuskan dosa dan melindungi bayi-bayi tersebut daripada semangat/roh dan penyakit jahat.
‘Boryeong Mud Festival’ – Korea Selatan.
Sebenarnya, tujuan asal festival lumpur ini dibuat adalah untuk mempromosikan produk kosmetik korea tetapi kini ia telah berkembang sebagai satu festival yang agak kotor tetapi menyeronokkan!
Festival lumpur disambut pada bulan Julai setiap tahun di Pantai Daecheon dan memerlukan orang untuk memakai serta menyelaputi seluruh badan mereka dengan lumpur mineral.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan semasa festival ini berlangsung termasuk urutan lumpur, mandi lumpur dan lain-lain lagi.
‘Freezing Hair Contest’ – Kanada
Kesejukan dunia di bahagian hemisfera utara pada musim sejuk dikatakan tiada tolok bandingnya. Namun begitu, bagi sebuah bandar kecil bernama Whitehorse di Yukon, Kanada, kesejukan itu adalah perkara biasa dimana Pertandingan Pembekuan Rambut Antarabangsa adalah merupakan acara tahunan mereka yang dibuat pada bulan Februari setiap tahun.
Dengan suhu sekitar minus 20, peserta perlu merendam kepala mereka di dalam air Kolam Air Panas Takhini dan udara beku di luar akan membentuk rambut mereka apabila mereka mengangkat kepala keluar daripada air tersebut.
‘Argungu Fishing Festival’ – Nigeria.
Festival ini dilakukan di sebuah pekan kecil bernama Argungu di Nigeria dimana penduduk-penduduk tempatan berkaum lelaki akan bertanding untuk memancing dan mendapatkan ikan yang paling besar di sungai. Tetapi hasil tangkapan perlu dibuat dengan hanya menggunakan tangan.
Tujuan festival ini dibuat adalah kononnya dengan tujuan untuk menarik perhatian kaum wanita.
‘Cheese Rolling Festival’ – England
Percaya atau tidak, festival aneh ini dianggapkan antara salah satu festival paling gila di dunia! Setiap tahun, penduduk-penduduk tempatan dan pelancong akan berkumpul di Gloucester semata-mata untuk menyaksikan festival ini.
Peserta festival ini perlu berguling-guling dan berlanggar antara satu sama lain di Bukit Cooper untuk mengejar serta membawa lari keju besar.
‘Konaki Sumo’ – Jepun
Ada apa dengan sumo? Ternyata Konaki Sumo atau mesra dipanggil sumo bayi menangis bukan seperti festival biasa kerana ia melibatkan dua benda iaitu penggusti sumo dan juga bayi.
Pada bulan April setiap tahun, ahli-ahli gusti sumo di Jepun akan berlawan antara satu sama lain sambil memegang bayi sehingga ada antara bayi-bayi yang dipegang menangis .
Pemenang dipilih sekiranya bayi yang dipegang menangis dahulu dan untuk bayi yang tidak menangis, pengadil akan masuk ke gelanggang dengan memakai topeng menyerupai syaitan untuk menakutkan bayi tersebut sehingga menangis.
Bagi ibu bapa Jepun, menyerahkan anak mereka kepada ahli gusti sumo adalah usaha untuk membawa tuah kepada anak-anak dan melawan semangat jahat.
‘La Tomatina’ – Sepanyol
Festival yang diadakan di pekan kecil bernama Bunol ini merupakan pertarungan makanan terbesar di dunia yang dilakukan pada hari Rabu terakhir pada bulan Ogos setiap tahun.
Untuk menyambut festival ini, tomato yang banyak disediakan untuk pertarungan yang besar dan ada juga peserta-peserta yang membawa tomato dengan memenuhi trak mereka.
Selama 1 jam, jalan-jalan di pekan Bunol akan dipenuhi cecair merah tomato yang dibaling oleh peserta-peserta.
‘Night of the Radishes’ – Mexico
Pada 23 Disember setiap tahun, penduduk-penduduk tempatan di Oaxaca, Mexico mewujudkan dan menjadikan suasana Krismas pelik sekali! Dimana mereka menggunakan sayur iaitu lobak putih dan mengukir bentuk-bentuk yang aneh dan keterlaluan lalu mendedahkan dan mempamerkannya kepada orang yang lalu lalang.
‘Monkey Buffet Festival’ – Thailand
Bandar lama Lopburi di Thailand semestinya terkenal festival yang diadakan pada bulan November setiap tahun. Ketika festival ini, monyet-monyet di Lopburi di jemput untuk menjamu selera buffet yang disediakan.
Penduduk-penduduk tempatan dikatakan menyediakan lebih kurang 4000kg makanan tempatan, sayur-sayuran serta buah-buahan. Banyak bukan? Tujuan festival ini dibuat adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada monyet-monyet di Lopburi yang dikatakan kononnya membawa tuah kepada kawasan tersebut dan penduduknya.
‘Moose Dropping Festival’ – Alaska
Salji atau hujan jatuh dan turun dari langit tentunya perkara biasa buat semua. Walau bagaimanapun, bagi sebuah pekan kecil bernama Talkeetna di Alaska, bukan salji mahupun hujan yang jatuh dari langit sebaliknya tahi rusa. Festival ini disambut pada bulan Julai dimana tahi rusa yang dicat berwarna putih akan dijatuhkan ke orang ramai dibawah sama ada dari belon udara panas ataupun helikopter. Kurang pasti dengan tujuan festival ini tetapi ia dikatakan sedikit sebanyak telah menarik pelancong untuk datang ke Talkeetna.
‘Underwater Music Festival’ – Amerika Syarikat
Festival aneh ini telah berjalan selama lebih 30 tahun di Florida Keys, Amerika.
Sebuah stesen radio tempatan telah menaja festival ini dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kelestarian alam sekitar serta aktiviti menyelam yang selamat dan bertanggungjawab dimana mereka memainkan lagu bertema laut melalui pembesar suara yang digantung dibawah bot-bot.
Peserta-peserta festival ini digalakkan memakai kostum dan bermain instrumen bawah air untuk bersaing mendapatkan hadiah.
‘The International Highline Meeting Festival’ – Itali
Selamat datang ke festival paling gila dan menakutkan di dunia! Festival yang diadakan di pergunungan Itali di Monte Piana ini memerlukan peserta untuk menghabiskan masa berbaring dan tidur di atas ‘hammocks’ ataupun berjalan di atas tali yang digantung beratus-ratus meter dari tanah.
Peh! dengar sahaja sudah cukup menakutkan. Siapa yang gemar akan aktiviti lasak dan mencabar mungkin boleh cuba sertai festival aneh ini.
‘The Tinku Festival’ – Bolivia
Diadakan pada bulan Mei setiap tahun, festival ini bermula dengan ribuan manusia berkumpul untuk menari hanya untuk berakhir dengan pertumpahan darah dan kadangkala kematian!
Disambut sejak 600 tahun yang lalu, festival ini adalah festival keagamaan dimana orang menumpahkan darah untuk mendapatkan rahmat dan tuaian yang baik daripada Dewi Pachamama.
Namun begitu, festival yang menakutkan kini dikawal oleh orang awam dan pihak berkuasa supaya dapat mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.
Ternyata festival-festival pelik yang disambut di seluruh dunia ini mempunyai tujuan masing-masing bahkan ada juga yang disambut tanpa sebarang tujuan.
Meskipun begitu, festival-festival ini bukan sahaja jelas sekali dapat membuktikan pemikiran kreatif serta keunikan manusia yang berbeza budaya serta kepercayaan!