Bandar ‘underrated’ yang jarang dilawati pelancong!

Kebiasaannya, kecantikan dan keajaiban alam semula jadi seperti pulau, pantai, gunung-ganang dan sebagainya sering kali menjadi motivasi utama yang menarik seseorang untuk pergi melancong.

Tanpa disedari destinasi-destinasi menarik ini dan bandar-bandar besar yang lain juga telah menyebabkan bandar yang sebenarnya mempunyai lebih banyak keunikan serta tarikan yang ditawarkan mendapat kurang perhatian dari para pelancong.

Mari kita teroka pula bandar-bandar yang dikatakan ‘underrated’ ini! Selain kurang sesak, bandar-bandar ini juga mungkin mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri.

BACA: Undiscovered Cities di Asia Tenggara yang Rare!

Ferrara, Itali

Ferrara yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO ini adalah bandar penting Renaissance Itali yang terletak di wilayah Emilia-Romagna berdekatan Sungai Po. Tidak seperti bandar-bandar lain, Ferrara agak kurang dikunjungi oleh para pelancong meskipun ia menawarkan tarikan-tarikan yang tidak kurang hebatnya!

Bandar yang dipenuhi dengan gereja-gereja besar dan istana yang telah wujud sejak abad ke-14 lagi ini dikelilingi oleh tembok kuno yang hampir 10 kilometer panjangnya, jalan-jalan serta bangunan di Ferrara juga mengingatkan kepada zaman bandar ini mula dibina.

Kampot, Kemboja

Lupakan Phnom Penh atau Siem Reap, mari kita habiskan masa di Kemboja dengan mengunjungi Kampot! Tidak seperti bandar lain, Kampot merupakan permata tersembunyi Kemboja yang menawarkan pelbagai aktiviti-aktiviti lasak seperti pengembaraan ATV, kiteboarding dan lain-lain lagi.

Bonus! Untuk pengetahuan semua, Kampot juga dikatakan  kaya dengan sejarah kerana ia berfungsi sebagai ibu negara Kemboja semasa penjajahan Perancis.

Baguio, Filipina

Dikenali sebagai bandar pokok pain, Baguio merupakan bandar ‘underrated’ yang terletak di Pulau Luzon di Filipina. Ia merupakan bandar yang paling semula jadi di kepulauan Luzon di mana ia dikelilingi dengan kehijauan pokok-pokok pain.

Tambahan pula, Baguio dikatakan sangat kaya dengan sejarah dan kebudayaan rakyat tradisional Filipina yang dikenali sebagai suku kaum Igorot.

Pelancong-pelancong yang suka mempelajari sejarah dan budaya suku kaum lain jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi bandar Baguio apabila ke Filipina ya.

Takayama, Japan

Takayama merupakan sebuah bandar yang terletak di wilayah Gifu yang bergunung-ganang di Jepun. Apa yang menariknya tentang Takayama adalah ia sebenarnya menawarkan kampung-kampung Jepun tradisional yang tidak dapat disangkal lagi keasliannya sehingga digelar ‘Little Kyoto’ Jepun.

Bangunan-bangunan lama kayu berkisi di Takayama masih lagi ada dan dipelihara dengan baik bahkan masih ada bangunan yang berusia 200 hingga 300 tahun lamanya iaitu sejak zaman Edo lagi. Tambahan lagi, suasana persekitaran bandar Takayama juga agak indah dan sememangnya ‘instagram worthy’!

Ipoh, Malaysia

Bercakap tentang Malaysia, Kuala Lumpur sudah tentunya menjadi pilihan para pelancong. Apa kurangnya Ipoh yang terletak di Perak ini?

Selain berpeluang untuk melawat Kellie’s Castle yang penuh misteri, pengunjung juga boleh menikmati seni bina bangunan lama Ipoh yang terbina ketika zaman penjajahan British seperti stesen kereta api, menara jam Birch, dewan bandaraya Ipoh serta pejabat pos lama.

Selain itu, Ipoh juga merupakan sebuah bandar yang mempunyai banyak restoran, warung dan gerai yang menawarkan pelbagai jenis makanan-makanan rakyat Malaysia tau!

La Paz, Bolivia

La Paz, Bolivia yang terletak di Amerika Selatan ini merupakan salah satu tempat yang paling luar biasa di dunia.

Dengan ketinggian 11,975 kaki di atas permukaan laut, La Paz merupakan ibu kota de facto yang tertinggi dunia menjadikan sistem kereta kabelnya yang tertinggi dan juga terpanjang di dunia lantas menawarkan pemandangan-pemandangan bandar yang menakjubkan.

La Paz yang pernah dianggap bahaya dahulu, kini semakin pesat membangun dengan pembinaan kafe-kafe serta hotel-hotel baru dan lain-lain lagi.

Suzhou, China

Meskipun mempunyai banyak tarikan yang menarik dan unik, Suzhou sering ditelenggami bandar-bandar besar yang lain seperti Shanghai, Beijing, Guangzou dan lain-lain.

Mesra dipanggil Soochow, Suzhou yang terletak di China ini hanya mengambil masa kira-kira 90 minit sahaja dari Shanghai dengan menaiki kereta api laju.

Sesuai dengan gelaran ‘Venice of China’, Suzhou mempunyai banyak terusan, jambatan serta taman-taman klasik yang cantik!

Leh, India

Merupakan bandar terbesar di wilayah kesatuan Ladakh di India, Leh ternyata mempunyai banyak tarikan luar biasa yang tiada tolok bandingnya!

Meskipun Leh adalah sebuah bandar, namun ia menawarkan kecantikan semula jadi dan kebudayaan India yang tidak dapat dinafikan lagi menakjubkan.

Dari pelbagai festival menarik ke tasik air masin tertinggi di dunia ke hidupan liar menawan yang jarang dijumpai, Leh sebenarnya wajib dimasukkan dalam ‘bucket list’ semua yang gemar pergi melancong tau!

Akureyri, Iceland

Reykjavik sememangnya sudah sedia ada terkenal dikalangan pelancong tapi tahukah anda tentang kewujudan sebuah bandar yang bernama Akureyri di Iceland? Bandar ‘underrated’ ini merupakan bandar kedua terbesar di Iceland yang menempatkan hanya 19,000 penduduk dan ternyata lebih tenang berbanding Reykjavik.

Sesiapa yang gemarkan cuaca sejuk, boleh ke Akureyri kerana bahagian utara Iceland lebih sejuk dan kecantikan alam semula jadi di persekitaran bandar ini memang tiada tandingannya.

Aveiro, Portugal

Aveiro yang disebut uh-vey-roo merupakan bandar makmur kecil terletak berdekatan dengan laguna di Portugal yang dipanggil Ria de Aveiro. Bandar Aveiro sebenarnya terkenal dengan terusan yang banyak, sampan Moliceiro yang dicat dengan cantik serta rumah Costa Nova yang berwarna-warni sehingga ia digelar ‘Portuguese Venice’. Menarik bukan?

Lihatlah! Jelaslah bukan semua bandar menawarkan tarikan-tarikan urban, ternyata masih ada bandar-bandar yang menawarkan kemodenan serta kecantikan persekitaran alam semula jadi pada masa yang sama. Macam mana? Ada yang berminat untuk melawati salah satu daripada bandar-bandar ‘underrated’ yang disenaraikan?