Membeli dan memiliki insurans perjalanan ketika anda melancong sama ada di dalam ataupun di luar negara semestinya idea yang bernas! Namun begitu, tidak cukup sekiranya anda hanya terus membeli sahaja pelan insurans perjalanan.
Anda seharusnya memilih dengan berhati-hati insurans perjalanan yang merangkumi perkara atau peristiwa penting dan berkemungkinan mahal yang jarang-jarang sekali berlaku di luar jangkaan kita.
Perkara-perkara tidak diingin seperti jatuh sakit, terlibat dalam kemalangan dan juga kehilangan bagasi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja tanpa prejudis.
Dengan pelan insurans perjalanan yang bagus, anda dapat melancong dan menikmati percutian anda dengan tenang.
Berikut senarai perlindungan yang memberikan manfaat kepada rancangan perjalanan anda:
1. Perlindungan Perubatan
Perlindungan perubatan tidak dapat disangkal lagi merupakan perbelanjaan paling penting yang mesti dilindungi oleh pelan insurans perjalanan anda.
Sekiranya anda secara tiba-tiba jatuh sakit ataupun terlibat dalam kemalangan tanpa dijangka di luar negara, kos untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta tidak dapat dinafikan lagi agak mahal.
Apa yang lebih teruk, ada hospital yang tidak akan menerima anda di wad jika anda tidak mempunyai insurans.
Anda mungkin juga pernah mendengar bahawa terdapat negara yang menyediakan dan memberikan rawatan percuma kepada pelancong. Namun begitu, jangan salah faham kerana pengecualian mungkin berlaku.
Anda mempunyai hak untuk menerima rawatan perubatan tetapi kosnya tetap harus ditanggung.
Justeru, lebih baik sekiranya anda memiliki pelan insurans perjalanan sendiri untuk melindungi diri anda daripada sebarang kemungkinan ketika melancong.
2. Pemindahan atau Penghantaran Pulang Kecemasan
Sekadar perlindungan perubatan dan kemasukan ke hospital sahaja tidak mencukupi, anda juga harus memastikan bahawa pelan insurans perjalanan anda merangkumi kos pemindahan perubatan serta penghantaran pulang. Bagaimana pentingnya perlindungan ini?
Sekiranya anda jatuh sakit dan perlu dipindahkan ke lokasi lain untuk mendapatkan rawatan, tentunya kos rawatan anda akan menjadi lebih mahal. Oleh itu, perlindungan pemindahan perubatan adalah sangat digalakkan supaya anda boleh mendapatkan rawatan segera tanpa perlu gusar tentang kos rawatan.
Selain itu, perlindungan penghantaran pulang kecemasan juga sangat penting di dalam pelan insurans perjalanan anda untuk menanggung kos membawa anda pulang ke Malaysia bagi memenuhi keperluan rawatan.
Penundaan penerbangan
Sesungguhnya kelewatan penerbangan memang tidak menyeronokkan! Ia mengakibatkan kekacauan terhadap rancangan perjalanan anda, merosakkan mood malahan boleh menyebabkan pembaziran wang sebagai contoh deposit ‘non-refundable’ yang mungkin telah dibuat oleh anda
Jika anda mempunyai perlindungan penundaan penerbangan dan penerbangan anda ditunda, anda boleh mendapatkan ganti rugi kerana menunggu dan anda juga boleh menerima pembayaran balik deposit yang hilang akibat penundaan penerbangan.
Meskipun begitu, pengecualian mungkin berlaku terutamanya jika kelewatan berlaku atas kesalahan dan kecuaian anda sendiri contohnya terlepas ‘check-in’ penerbangan.
Ketinggalan ‘connecting flight’
Terlepas ataupun tertinggal ‘connecting flight’ boleh diakibatkan oleh penundaan penerbangan anda yang sebelumnya. Ketinggalan ‘connecting flight’ selalunya memang mahal kosnya dan tidak dapat dinafikan menyusahkan. Hal ini kerana, ia berkemungkinan boleh menyebabkan anda kehilangan tempahan hotel, kereta sewa serta lain-lain lagi.
Walau bagaimana, jumlah perlindungan ketinggalan ‘connecting flight’ tidaklah terlalu tinggi bergantung kepada polisi perjalanan. Namun begitu, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan anda.
Perlu diingatkan juga perlindungan ini tidak boleh diguna pakai sekiranya anda terlepas ‘connecting flight’ kerana kesilapan sendiri seperti anda tiba lambat di pintu masuk.
Pembatalan perjalanan
Bayangkan anda telah membuat perancangan dan persediaan percutian dengan begitu teliti. Pembelian tiket penerbangan dan segala tempahan penting telah dibuat tetapi percutian terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana berlakunya kecemasan atau perkara yang tidak diingini. Tidak perlu bimbang, insurans perjalanan anda dapat meringankan kos ini walaupun sedikit sekiranya perlindungan pembatalan perjalanan termasuk dalam pelan anda.
Kebiasaannya, perlindungan pembatalan perjalanan hanya akan membayar balik perbelanjaan perjalanan anda hanya jika pembatalan tersebut benar-benar diperlukan. Alasan yang tidak masuk akal contohnya, anda telah berubah fikiran dan ingin membatalkan percutian anda tidak akan diterima sama sekali.
Sebenarnya, hanya terdapat beberapa sebab yang membenarkan anda untuk membuat tuntutan bayaran balik sekiranya berlaku pembatalan. Ini termasuk:
- Penyakit serius, kecederaan atau kematian ahli keluarga terdekat (atau anda sendiri)
- Mogok, rusuhan yang tidak dijangkakan atau kekacauan awam di destinasi anda
- Saman undang-undang
- Kerosakan serius (Contohnya kebakaran atau banjir) rumah anda di Malaysia
Jadi, pastikan anda periksa terma dan syarat pelan insurans perjalanan anda untuk pembatalan perjalanan dengan alasan lain.
Gangguan perjalanan
Gangguan perjalanan terjadi apabila anda terpaksa membatalkan baki perjalanan atas sebab-sebab kecemasan selepas anda berlepas. Perlindungan gangguan perjalanan lebih kurang sama dengan perlindungan pembatalan perjalanan dimana hanya terdapat beberapa sebab tertentu sahaja yang membolehkan tuntutan dibuat.
Namun begitu, mungkin terdapat beberapa sebab tambahan yang dilindungi. Sebagai contoh, rampasan kapal terbang, bencana alam, atau kematian, kecederaan serius atau penyakit rakan kembara anda (sama ada ahli keluarga atau tidak).
Apa pun, perlindungan gangguan perjalanan anda mungkin berbeza bergantung kepada polisi perjalanan. Oleh itu, pastikan anda membaca dengan teliti kemungkinan pengecualian serta tuntutan yang dibenarkan oleh pelan insurans perjalanan anda.
Kelewatan atau kehilangan bagasi
Kelewatan, kerosakan serta kehilangan bagasi adalah sangat menyusahkan dan memerlukan wang yang banyak terutama sekali apabila sesuatu barang yang berharga dan bernilai rosak ataupun salah tempat.
Jenis perlindungan ini membolehkan anda untuk menerima pembayaran balik atau pembayaran penggantian barang-barang peribadi atau bagasi yang hilang atau memberi pampasan atas kelewatan ketibaan bagasi.
Namun begitu, terdapat beberapa item yang mungkin tidak termasuk dalam perlindungan ini contohnya bahan makanan, barang kemas dan barang-barang elektronik tertentu (kecuali kebakaran).
Tambahan lagi, perlu diingatkan bahawa perlindungan ini tidak terpakai untuk item atau barangan yang pampasannya adalah tanggungjawab pihak hotel ataupun syarikat penerbangan.
Mungkin sebelum ini ramai yang pergi melancong tanpa membeli sebarang pelan insurans perjalanan kerana yakin tiada apa yang akan berlaku semasa percutian anda. Tetapi sesuatu yang buruk boleh berlaku kepada kita tanpa disangka-sangka. Oleh itu, sebelum and melancong cari, banding dan pilihlah pelan travel insurans yang merangkumi perlindungan-perlindungan seperti yang disenaraikan agar dapat menjamin ketenangan anda ketika melancong.