Meskipun pandemik Covid-19 masih lagi melanda dunia, namun begitu terima kasih kepada barisan hadapan negara kita, Malaysia kini semakin beransur pulih dengan 90.92% kadar kes sembuh. Berikutan dengan itu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa pelancongan domestik di Malaysia telah dibenarkan semula mulai 10 Jun 2020 seiring dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Mungkin ramai juga pasangan-pasangan yang baru mahupun sudah lama berkahwin masih tidak dan belum lagi berkesempatan untuk berbulan madu akibat penularan wabak Covid-19 ke seluruh dunia. Anda tidak perlu risau! Walaupun tidak dapat berbulan madu di luar negara seperti yang diidam-idamkan, anda boleh sahaja berbulan madu di dalam Malaysia sahaja. Sebenarnya, banyak juga destinasi-destinasi cantik, menarik serta romantik sesuai untuk berbulan madu yang tidak kurang hebatnya di Malaysia!
BACA: Barang Yang Anda Perlu Bawa Ketika Travel
Berikut adalah destinasi bulan madu di dalam negara kita yang boleh anda pertimbangkan untuk meluangkan masa bersama tersayang.
1. Pulau Pangkor – Perak



Malaysia memang tidak dapat dinafikan lagi diberkati dengan pulau-pulau cantik di seluruh negara dan salah satunya adalah semestinya Pulau Pangkor. Terkenal dengan suasana santai dan pantai-pantai yang indah menjadikan pulau ini sesuai untuk menghabiskan masa berbulan madu.
Pulau Pangkor juga tidak seperti pulau-pulau di kawasan pantai timur seperti Pulau Perhentian serta Pulau Redang di mana Pulau Pangkor tidak terkesan dengan cuaca dan boleh dilawati pada bila-bila masa sahaja.
BACA: Tips Travel Solo Untuk Wanita
2. Langkawi – Kedah



Boleh dikatakan merupakan destinasi kegemaran semua orang, Langkawi boleh diakses sama ada dengan menggunakan kereta dan feri ataupun kapal terbang.
Apa yang menariknya, Langkawi menggabungkan tarikan-tarikan menarik yang berbeza-beza termasuk pantai-pantai cantik, pemandangan landskap yang menghijau serta tempat-tempat bersejarah. Sekiranya ada yang berbulan madu di sini, memang banyaklah tempat yang boleh diterokai!
Info lanjut mengenai Langkawi, KLIK SINI
3. Mulu – Sarawak


Ramai pelancong pergi ke Mulu di Sarawak semata-mata untuk menerokai Taman Negara Gunung Mulu, hutan hujan dilindungi yang terkenal dengan gua-gua serta tebing-tebing batu kapurnya. Taman Negara Gunung Mulu tidak dapat disangkal lagi merupakan destinasi yang menakjubkan untuk dilawati.
Pasangan-pasangan yang gemar akan aktiviti pengembaraan dan aktiviti lasak semestinya tidak boleh melepaskan peluang daripada melawat Mulu yang juga merupakan salah satu permata tersembunyi Malaysia.
Info lanjut mengenai Taman Negara Mulu, KLIK SINI
4. Pulau Perhentian – Terengganu



Pulau Perhentian merupakan salah satu destinasi berbulan madu terbaik di Malaysia. Pulau ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil yang dilengkapi pelbagai jenis fasiliti hotel dengan harga yang berbeza dari hotel bajet sehingga ke resort mewah.
Selain melakukan aktiviti air, pasangan yang ke sini untuk berbulan madu boleh sahaja duduk bersantai hanya untuk menikmati kecantikan air biru dan angin laut.
5. Kota Kinabalu – Sabah



Ibu kota Sabah merupakan bandar menakjubkan dengan pelbagai ‘permata tersembunyi’ yang boleh diterokai. Sesuai juga untuk pasangan yang datang untuk berbulan madu, masa boleh dihabiskan di Sabah dengan mendaki Gunung Kota Kinabalu, bersantai di pantai-pantai yang cantik dan berjalan-jalan di pasar-pasar Kota Kinabalu.
Dengan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan sambil menikmati kecantikan alam semula jadinya, Kota Kinabalu semestinya destinasi berbulan madu yang sempurna.
6. Cameron Highlands – Pahang




Sememangnya terkenal dengan cuacanya yang dingin, udara yang nyaman serta suasana yang romantis, Cameron Highlands sudah semestinya merupakan destinasi bulan madu yang sempurna buat pasangan yang baru berkahwin.
Destinasi bulan madu ini terletak lebih kurang 2 jam dari ibu kota Kuala Lumpur. Cameron Highlands menawarkan pemandangan yang mempesonakan seperti kehijauan tanaman ladang teh, gunung-gunung tinggi dan juga bunga berwarna-warni.
Selain boleh lari dari cuaca panas di bandar, anda juga boleh menenangkan fikiran bersama pasangan anda di Cameron Highlands.
7. Pulau Tioman – Pahang


Pulau Tioman merupakan pulau terbesar di Semenanjung Malaysia dan sudah pasti wajib dimasukkan dalam senarai destinasi berbulan madu terbaik di Malaysia. Terletak di Pahang, Pulau Tioman mempunyai pantai-pantai yang mempesonakan.
Selain diving dan snorkelling, anda juga boleh bersiar-siar, berbasikal di sekitar pulau dan surfing di Pantai Juara. Anda boleh melakukan banyak aktiviti-aktiviti menarik sambil menikmati pemandangan, menarik bukan?
8. Pulau Redang – Terengganu


Seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang juga terletak di persisiran pantai Terengganu dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia daripada pelbagai negeri. Anda dan pasangan boleh bersantai sambil menikmati angin laut dan juga kecantikan air biru Laut Cina Selatan.
Berbanding pulau-pulau berdekatan lain, Pulau Redang lebih maju dan membangun jadi, pelbagai jenis penginapan dari hotel bajet sesuai untuk backpackers sehingga ke resort mewah sesuai untuk pasangan berbulan madu boleh ditempah di pulau ini.
9. Pulau Mabul – Sabah


Menawarkan pantai dan pasir putih yang bersih, pantai tersembunyi di Malaysia yang terletak di Sabah ini adalah pantai yang bagus untuk pergi berbulan madu bagi yang ingin mencari pengalaman luar biasa.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Pulau Mabul termasuk menerokai pulau di dalam kayak lutsinar, melawat Kampung Bajau, snorkelling, stargazing dan lain-lain lagi. Sebenarnya, Pulau Mabul merupakan salah satu destinasi berbulan madu yang paling popular di Malaysia.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk berbulan di Pulau Mabul yang breathtaking ini bak kata orang putih.
10. Pantai Batu Ferringhi – Pulau Pinang


Pantai pasir putih yang terletak di sepanjang Jalan Batu Ferringhi ini dipenuhi tempat-tempat penginapan dan hotel-hotel untuk pengunjung serta kedai-kedai makanan tempatan. Anda dan pasangan boleh bersantai di tepi pantai sambil menghirup udara segar di Pantai Batu Ferringhi.
Sebenarnya, pantai ini sesuai untuk pasangan yang hanya mahukan percutian pendek yang menenangkan.
11. Tasik Kenyir – Terengganu


Jarang-jarang orang pergi berbulan madu di tasik jadi apa salahnya anda cuba sesuatu yang lain daripada yang lain, betul? Apa kata anda cuba pergi berbulan madu di tasik pula iaitu Tasik Kenyir yang terletak di Terengganu.
Sebenarnya, Tasik Kenyir bukan sekadar tasik biasa kerana rupa-rupanya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Selain boleh bermalam di rumah bot dan memancing, anda juga boleh ke air-air terjun yang cantik di sekitar Tasik Kenyir, terokai Gua Bewah, melawat santuari ikan Kelah dan lain-lain lagi.
Apa lagi? Jom ke Tasik Kenyir!
12. Port Dickson – Negeri Sembilan


Sememangnya sudah sedia ada popular dengan pantai-pantainya, Port Dickson sesuai untuk pasangan-pasangan yang ingin berbulan madu dengan bajet yang rendah. Port Dickson mudah diakses dan hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja dari ibu kota Kuala Lumpur.
Menariknya Port Dickson, ia tidak hanya tertumpu pada satu tempat sahaja tetapi mempunyai pelbagai jenis pantai dengan tarikan yang berbeza antaranya ialah Teluk Kemang, Pantai Saujana, Tanjung Tuan dan Blue Lagoon.
13. Pulau Gemia – Terengganu

Pulau Gemia atau juga dikenali sebagai Pulau Gem merupakan pulau yang terletak di Terengganu.
Pulau Gemia merupakan destinasi bulan madu terbaik di Malaysia kerana pulau ini adalah merupakan pulau persendirian, jadi ia dapat memberikan anda dan pasangan lebih privasi untuk menghabiskan masa berbulan madu.
Selain itu, anda juga dapat bersantai di tepi pantai pasir putih bersih sambil menikmati kecantikan air yang bersih dan jernih.
14. Putrajaya – WP Putrajaya
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa Putrajaya termasuk dalam senarai destinasi berbulan madu di Malaysia tetapi tahukah anda bahawa Putrajaya mempunyai tarikannya yang tersendiri juga?
Bukan semua orang merupakan pencinta alam semula jadi, ada juga yang gemar menerokai bandar-bandar juga.
Sesiapa yang lebih suka terokai bandar, boleh lawati Putrajaya kerana selain merupakan rumah kepada badan pentadbiran kerajaan, Putrajaya juga merupakan salah satu bandar terancang di Malaysia dan mempunyai banyak bangunan dengan seni bina yang memukau.
15. Bandar Hilir – Melaka


Jika anda mencari tempat lain daripada yang lain untuk dijadikan destinasi berbulan madu di Malaysia, Bandar Hilir yang terletak di Melaka boleh menjadi salah satu daripadanya.
Terletak di pesisiran pantai barat Malaysia, bandar ini mencerminkan budaya Belanda, Inggeris, Portugal dan juga Melayu sekaligus.
Dengan suasana pasar malam yang rancak dan pelbagai tempat-tempat bersejarah yang mengagumkan untuk dikunjungi, Bandar Hilir wajib dimasukkan dalam itinerari perjalanan anda.
Wah! Ternyata sebenarnya terdapat banyak tempat-tempat menarik dan cantik yang sesuai dijadikan destinasi berbulan madu di Malaysia.
Cuma sebelum ini kita terlalu asyik dengan kecantikan destinasi-destinasi di luar negara sehingga tidak mengambil endah destinasi-destinasi luar biasa dan menarik di Malaysia.
Bagaimana? Bolehlah anda semua mula merancang perjalanan berbulan madu anda di Malaysia!