Jika anda mencari tempat bercuti berdekatan rumah anda atau di dalam Malaysia, anda semestinya akan gembira untuk mengetahui terdapat banyak tempat “Hidden Gems” di Malaysia yang mungkin anda pernah dengar tetapi tidak rasa ianya tidak berbaloi untuk dilawati. Di sini kami senaraikan Destinasi Underrated di Malaysia:
Balik Pulau, Penang
Jika sebut Penang, semestinya tempat yang terlintas di fikiran adalah Georgetown atau Batu Feringhi. Ini kerana di sinilah tumpuan pelancong kerana mempunyai kawasan yang cantik dan menarik untuk bergambar dan juga mempunyai tempat makan yang menarik sesuai untuk yang sukakan “food hunting”.
Tetapi pernahkah anda dengar tentang Balik Pulau? Terletak di barat Georgetown, sudut pulau yang tenang ini menawarkan suasana pinggir bandar yang kita perlukan dari semasa ke semasa. Disini juga anda boleh berkunjung ke Saanen Dairy Goat Farm dan anda boleh memberi kambing makan, melihat cara memerah susu dan anda boleh membeli beberapa produk tenusu yang tidak dijual di bandar.
Anda juga boleh ke Countryside Stables Penang, terletak di Sungai Burung, ianya adalah kawasan pertanian, disini anda boleh membuat aktiviti menunggang kuda. Anda akan menjumpai pelbagai jenis baka kuda disini. Anda juga boleh melawat beberapa kawasan industri kecil seperti Lean Seng Bedak Sejuk , Chop Kim Hua Belacan dan juga Stepping Stone Centre bengkel seni dan kraf tangan yang dikendalikan oleh komuniti berkeperluan khas.
Di sini juga terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh anda cuba, seperti yang kita sedia maklum Penang adalah antara negeri yang perlu kita pergi untuk mencuba pelbagai jenis makanan. Jadi jika anda ingin bercuti ke Penang, apa salahnya anda masukkan sekali Balik Pulau di dalam itineri perjalanan anda.
Seremban, Negeri Sembilan
Jika anda memerlukan percutian yang menenangkan, Seremban adalah salah satu tempat yang boleh dimasukkan kedalam “list” percutian anda. Terletak di timur berdekatan Jelebu, disini terletaknya beberapa resort hutan yang sangat cantik dan mempunyai pemandangan yang memukau.
Anda akan disajikan dengan pemandangan hijau dari hutan simpan Berembun dan anda juga dapat menghirup udara bersih yang tidak dapat di tengah bandar. Setiap resort disana biasanya akan menawarkan beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan, dan ini akan membuatkan percutian anda lebih menarik.
Jika anda gemarkan aktiviti lasak, anda boleh mendaki Gunung Berembun. Sepanjang pendakian anda akan melalui air terjun Lata Berembun dan kawasan kapal terbang terhempas sewaktu perang dunia kedua. Kawasan bersejarah yang berusia 70 tahun ini masih lagi dipelihara dengan baik. Anda dapat mengenal pasti serpihan pesawat milik Tentera Udara Diraja Britain yang menjadi ‘peninggalan khazanah’ di hutan ini.
Semporna, Sabah
Tidak seperti Kundasang dan Kota Kinabalu, Semporna tidaklah kerap disebut oleh pelancong. Namun tahukah anda, ia mempunyai “harta karun” di bawah air, dijaga dengan baik dan tidak disentuh. Ini membuatkan anda boleh melihat dasar air yang sangat cantik. Kepada yang tidak boleh menahan diri untuk bercuti mendapatkan vitamin “sea”, di sini adalah tempat yang sesuai untuk anda.
Terdapat banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di sini, antaranya adalah “island-hopping”. Dari pantai Semporna, anda boleh menaiki bot ke beberapa tempat “diving” antaranya Mabul, Kipalai dan Sipadan. Taman Laut Tun Sakaran (Tun Sakaran Marine Park) yang terbentuk daripada sisa gunung berapi yang sudah pupus, adalah taman laut terbesar di Sabah yang terdiri daripada 8 pulau. Bohey Dulang adalah salah satu pulau yang terkenal di sana, air yang berwarna emerald, terumbu karang yang cantik dan banyak lagi.
Taman Negara, Pahang
Jika percutian anda melibatkan kawan dan keluarga, percutian disini adalah yang terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan tanpa gangguan gajet. Sama ada trekking atau menaiki bot, taman ini memberi anda kebebasan untuk meneroka selok-belok harta negara kita iaitu Taman Negara.
Di sini juga mempunyai laluan kanopi yang terpanjang di dunia. Asalnya ia dibina untuk penyelidik tetapi kemudiannya dibuka untuk umum. Fakta menarik tentang laluan kanopi ini: laluan ini dipasang tanpa menggunakan gerudi atau paku agar ia tidak merosakkan pokok, namun tidak perlu risau kerana ianya benar-benar selamat.
Maklumat lanjut Taman Negara, KLIK SINI
Gunung Mulu National Park, Sarawak
Destinasi Underrated seterusnya disenaraikan antara salah satu kawasan UNESCO World Heritage, kecantikan yang tiada tolok tanding di taman ini dan pelbagai jenis hidupan liar menjadikan ia antara salah satu kawasan yang menarik untuk dilawati.
Mempunyai ketinggian 2376 meter paras laut, anda boleh bersiap sedia dengan kasut trekking anda dan meneroka ruang gua yang besar, sungai bawah tanah yang sangat memukau dan kepelbagaian geo-tropika. Pemandangan di puncaknya pula sangatlah luar biasa, jadi pastikan anda mengambil gambar sebanyak mungkin untuk kenangan terbaik anda!
Tasik Kenyir, Terengganu
Tasik Kenyir adalah tasik buatan terbesar di Selatan Asia. Walaupun ianya tasik buatan, ia sangat kaya dengan hidupan alam semulajadi dan diliputi dengan hutan hijau yang memukau di sekitarnya.
Ia juga dijadikan sebagai destinasi pelancongan eko, anda akan menjumpai pelbagai chalets dan rumah bot untuk menikmati keindahan Tasik Kenyir sekiranya anda berminat untuk bermalam di tasik ini. Anda boleh memilih untuk membuat aktiviti seperti berkayak, rafting atau canoeing. Anda juga boleh melihat pelbagai jenis burung di sini kerana kawasan ini adalah rumah untuk hampir 350 jenis burung, termasuklah “Hornbills”.
Jika anda gemarkan memancing, anda boleh berkunjung ke sini pada bulan Ogos sewaktu air surut. Walau bagaimanapun, hanya beberapa kawasan sahaja yang dibenarkan memancing. Untuk itu adalah lebih baik sekiranya anda bertanya kepada pemandu bot atau pemandu pelancong anda dahulu sebelum membuat aktiviti memancing ini.
Aktiviti lain di sini juga termasuklah meneroka Gua Bewah, mencuba spa ikan di Kelah Fish Sanctuary dan pelbagai air terjun yang boleh anda lawati dan salah satunya adalah Air Terjun Lasir. Anda juga boleh melawat ke Kenyir Elephant Conservation Village yang dibuka pada tahun 2012 untuk menjaga gajah yang sesat dan anak gajah yang ditinggalkan sebelum mereka dilepaskan semula ke dalam hutan. Di sini anda boleh belajar serba sedikit tentang kehidupan gajah dan anda juga boleh bermain air bersama gajah-gajah ini.
Dapatkan pakej menarik bermalam di Tasik Kenyir, KLIK SINI
Sasaran, Kuala Selangor
Kuala Selangor biasanya terkenal dengan kelip-kelip, tetapi tahukah anda di sini juga terletaknya kawasan yang dipanggil “Sky Mirror”. Destinasi Underrated ini terhasil daripada pantulan cahaya yang terjadi apabila air surut dan ianya terletak di pantai Kuala Selangor.
Dibuka hanya dua kali sebulan iaitu pada waktu bulan penuh dan 2 minggu selepas itu. Pada waktu lain, kawasan ini tidak akan dapat dikunjungi kerana situasi air pasang akan menenggelamkan pasir dan anda perlu menunggu beberapa minggu untuk ke kawasan ini.
Untuk ke Sky Mirror ini, anda perlu daftar di laman sesawang mereka, klik sini. Jika perancangan anda selesai, pada hari trip anda, perjalanan anda bermula menaiki feri yang mengambil masa 30 minit untuk sampai ke destinasi. Destinasi ini sangat sempurna untuk anda yang inginkan “short vacation” dari kawasan Lembah Klang.
Pulau Rawa, Johor
Terletak ditepi pantai Mersing di laut China Selatan, pulau ini juga dikenali sebagai Maldives Johor. Berbanding dengan pulau-pulau cantik yang ada di Malaysia, Pulau Rawa adalah tempat yang sangat menarik dan menawarkan keindahan alam semula jadi tanpa bilangan pengunjung yang ramai dan jauh daripada pembangunan moden.
Pulau ini dinamakan Pulau Rawa disebabkan kawasan ini adalah rumah kepada burung merpati putih yang dipanggil “Rawa”. Anda boleh membuat aktiviti “snorkeling” dan “diving” di sini. Boleh dikatakan perairannya yang biru dan semua kebaikan vitamin D sudah cukup untuk menjadikan percutian anda di sini sangat santai. Anda juga boleh mendaki Hill Top View yang mengambil masa tidak lebih dari 30 minit dan anda akan disajikan dengan pemandangan laut China Selatan yang sangat cantik.
Adakah tempat yang disenaraikan ini menarik minat anda? Jika anda merancang untuk bercuti di dalam Malaysia, anda mungkin boleh memasukkan tempat ini didalam “list” percutian anda.