Kenapa ramai orang melancong ke seluruh dunia? Ternyata mereka menjelajah ke seluruh dunia dengan sebab yang berbagai antaranya adalah untuk mengisi masa lapang, untuk belajar, untuk bekerja dan lain-lain lagi. Tidak kira atas sebab apa seseorang individu itu pergi melancong, kesihatan memainkan peranan yang penting supaya perjalanan berjalan dengan lancar dan tidak menganggu aturcara perjalanan asal.

Kesihatan yang elok semasa ‘travel’ boleh menjamin perjalanan yang menyeronokkan! Betul tak? Jadi di sini kami akan kongsikan beberapa tips untuk kekal sihat semasa berjalan.

Ambil langkah berjaga-jaga semasa penerbangan

Penerbangan yang panjang sangat meletihkan. Semasa di dalam penerbangan, mintalah air pada setiap peluang yang diberikan agar kekal ‘hydrated’. Elakkan daripada mengambil kopi, kandungan gula yang banyak ataupun alkohol sehingga penerbangan berakhir ya!

Untuk melancarkan aliran darah, lebih baik mengambil pendekatan dengan berjalan kaki sedikit setiap jam semasa penerbangan. Selain itu, sentiasa lenturkan pergelangan kaki serta tidak menyilangkan kaki untuk mengelakkan lenguh yang berlebihan.

Dapatkan tidur yang mencukupi

Perkara yang paling penting semasa melancong adalah semestinya tidur! Badan kita memerlukan rehat yang secukupnya kerana kita secara fizikalnya melancong, merentasi ‘time zones’, membawa bagasi sehingga tibanya ke destinasi serta berjalan sepanjang hari.

Semua sudah sedia tahu bahawa berjalan dan melancong meletihkan tubuh badan jadi, pastikan ada banyak berehat ya! Tidur sekurang-kurangnya 8 jam dan biarkan badan anda berehat sebelum memulakan perjalanan seterusnya.

Rancang perjalanan

Cuba elakkan untuk melawat seluruh bandar dalam masa satu hari. Sekiranya anda memilih untuk melawat bandar yang besar, lebih baik untuk tinggal lebih lama supaya tidak terburu-buru dan dapat mempelbagaikan tempat yang akan dilawati di dalam itinerari.

Hasilnya, anda dapat mengenali lebih banyak tentang tempat tersebut daripada hanya mampu mengatakan anda “pernah datang”. Jadi aktif dan teroka setiap lorong tetapi jangan keterlaluan, pastikan ada rehat sedikit walaupun sekejap!

‘Breathe’

Bunyi mengarut bukan? Tetapi ternyata bernafas adalah ‘exercise’ yang paling penting dan paling mudah dilakukan semasa melancong. ‘Exercise’ bernafas boleh dilakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Tarik nafas dalam-dalam, tahan dan hembuskan. Ulang beberapa kali. Ianya dapat membantu anda berehat, menenangkan diri serta mengatasi tekanan semasa melancong.

Pilih berjalan sebagai mod pergerakan

Bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”, dengan memilih mod pergerakan berjalan anda boleh melakukan senaman harian sambil mempelajari dan menerokai sesuatu tempat juga. Stesen kereta api terletak sejauh 2 km sahaja? Apa kata berjalan kaki ke sana dan bukannya menaiki teksi ataupun bas. Jangan guna lif ataupun eskalator, sebaliknya gunakan tangga!

Mempunyai rutin senaman

Tempah bilik di hotel yang mempunyai ‘fitness center’ atau beli pas sementara di gimnasium tempatan. Sekiranya tidak, anda boleh bersenam di bilik anda dengan melakukan senaman seperti ‘push ups’, ‘sit ups’, yoga dan lain-lain lagi ataupun jogging di kawasan persekitaran. Sentiasa ingat jadual senaman anda dan ikutinya dengan patuh!

Makan Sarapan

Jangan tinggalkan sarapan dan terus ke makan tengah hari. Sekiranya anda tidak biasa mengambil makanan berat di pagi hari, makanan seperti bijirin, roti ataupun buah-buahan sudah memadai. Tidak kira apa, jangan sesekali ‘skip’ sarapan kerana ada sebabnya kenapa ia merupakan makanan harian yang paling penting. Sarapan dapat memberikan anda tenaga untuk memulakan hari anda dengan betul!

Kekal terhidrat

Sentiasa bawa botol air bersama anda sepanjang masa. Minum air cukup secukupnya meskipun ianya agak menyusahkan untuk selalu mencari tandas awam semasa melancong. Kekal ‘hydrated’ merupakan asas dan kunci kehidupan, tubuh badan anda akan berterima kasih kepada anda!

Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan

Makan makanan yang sihat selagi boleh! Pilih hidangan vegetarian dan tambahkan salad untuk mengimbangkan makanan anda. Anda juga boleh membeli sayur-sayuran atau salad ‘ready-made’ di kedai runcit!

Dapatkan buah-buahan di kedai runcit tempatan dan ambilnya sebagai sarapan atau snek berkhasiat. Buah-buahan seperti epal, oren serta pisang mudah dan boleh didapati hampir di mana-mana kedai runcit di dunia.

Sentiasa menjaga kebersihan

Pastikan anda kerap membasuh tangan, kuku anda bersih dan elakkan daripada menyentuh mata, hidung serta mulut. Gunakan ‘hand sanitizer’ untuk membersihkan tangan anda untuk menggantikan air dan sabun. Semasa melancong, anda berjalan sepanjang hari dan mungkin bersentuhan dengan orang lain, pintu, barang dan sebagainya.

Pekara terakhir yang ingin anda lakukan adalah makan dengan tangan yang kotor. Justeru, cegah penyebaran bakteria dan kuman dengan membersihkan tangan anda terutamanya sebelum dan selepas makan.

Percayalah percutian anda akan jadi lebih bermakna dan menyeronokkan jika kesihatan anda juga terjaga! Jom kita amalkan tips kekal sihat ketika melancong supaya perkara yang tidak diingini melibatkan kesejahteraan dan kesihatan diri dapat dielakkan ketika sedang bergembira bercuti bersama keluarga mahupun rakan-rakan.