Gunung, lembah dan tasik yang ada di Pakistan boleh dikatakan sebagai syurga dunia. Pakistan mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi, lebih-lebih lagi kepada anda yang sukakan ‘nature’. Pemandangan semula jadi yang menakjubkan di Pakistan pasti akan mengujakan setiap pengunjung yang menjejakkan kaki ke sana, terutamanya di Naran.
Naran merupakan sebuah pekan kecil di Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan. Pekan ini terletak kira-kira 65 kilometer dari Babusar Top, yang merupakan antara tempat wajib disinggahi apabila anda dalam perjalanan ke Gilgit. Naran juga dikenali sebagai tempat yang mempunyai kecantikan alam semula jadi yang menakjubkan dan terkenal sebagai destinasi utama bagi pelancong yang berkunjung semasa musim panas. Jika anda ingin berkunjung ke Naran tidak kiralah secara solo, bersama keluarga mahupun rakan, kenangan ketika berada di sini bakal merupakan satu memori yang indah buat anda!
Bilakah waktu terbaik untuk pergi ke Naran?
Masa terbaik untuk melawat Naran ialah ketika musim panas iaitu dari April sehingga September. Ketika musim ini, salji di Naran sudah mencair dan kebanyakan jalan raya juga sudah boleh diakses. Berikut merupakan antara tempat yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi di Naran yang sesuai dilawati ketika musim panas.
Tasik Saif-ul-Malook
Tasik Saif-ul-Malook ini merupakan tasik glasier Alpine yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Bazar Naran dan berada 10,000 kaki dari paras laut. Tasik ini adalah antara tempat wajib dilawati jika anda ke Naran. Hanya dengan melihat gambar Tasik Saif-ul-Malook sahaja sudah dapat digambarkan betapa indahnya pemandangan di tasik ini serta suasananya yang begitu menyenangkan. Cuba anda bayangkan jika anda ke sana, sudah semestinya perasaan itu tidak boleh diungkap. Masa yang terbaik untuk melawat Tasik Saif-ul-Malook ini adalah dari Mei sehingga September iaitu ketika musim panas. Ini kerana pada musim sejuk, tasik ini akan ditutupi salji dan kebanyakan jalan raya tidak boleh diakses akibat timbunan salji yang banyak.
Babusar Top
Babusar Top juga dikenali sebagai Babusar Pass, merupakan antara destinasi utama yang mesti dilawati jika anda ke Pakistan ketika musim panas. Babusar Top ialah jalan yang menghubungkan Khyber Pakhtunkhwa dengan Gilgit-Baltistan. Babusar Top merupakan tempat tertinggi di kawasan Naran dan boleh dikunjungi dengan menaiki ‘jeep’ atau kereta. Anda pasti terpukau dengan keindahan pemandangan puncak Babusar Top ini. Walaupun anda melawat Babusar Top pada musim panas, suhu di kawasan puncak ini tetap sejuk dan dingin. Ini kerana Babusar Top terletak pada ketinggian 13,700 kaki di atas paras laut.
Tasik Lulusar
Satu lagi destinasi indah yang terletak berhampiran Naran ialah Tasik Lulusar. Tasik Lulusar ini merupakan antara destinasi yang ‘popular’ dalam kalangan pelancong kerana puncak gunungnya yang tinggi. Pemandangan pergunungan tinggi yang ditutupi salji ini sangat menakjubkan bagi pengunjung yang melawat ke Tasik Lulusar.
Masa yang sesuai untuk datang ke Tasik Lulusar ini ialah di pertengahan musim panas kerana pada waktu ini salji sudah mencair dan lebih banyak pemandangan hijau yang kelihatan. Jika anda bertuah, anda berpeluang untuk melihat haiwan seperti musang, beruang hitam dan marmot yang mempunyai habitat tersendiri di kawasan tasik ini. Bagi penggemar aktiviti ‘camping’, anda juga boleh mendirikan khemah dan bermalam di Tasik Lulusar sambil menikmati pemandangan langit di tasik ini ketika waktu malam.
Siri Paye
Siri Paye merupakan kawasan bukit yang hijau di Naran. Pemandangan di Siri Paye sangat cantik! Rumput di Siri Paye seolah-olah macam karpet yang hijau sambil berlatarbelakangkan pemandangan yang memukau dari pergunungan salji. Tak tumpah seperti syurga di dunia! Untuk tiba di kawasan rumput karpet ini, anda perlu menaiki ‘jeep’ untuk melalui hutan alpine yang tebal, kemudian anda perlu berjalan kaki kira-kira 15 minit untuk tiba ke kawasan ini. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di Siri Paye ialah mendaki dan juga ber’camping’ sambil menikmati keindahan alam di sini.