fbpx

Kenapa Anda Perlu ‘Travel’?

Ramai orang nampak melancong ini sebab ingin bersuka-ria sahaja. Tapi sebenarnya banyak sangat manfaat yang anda boleh dapat daripada melancong ini. Adakah anda tertanya-tanya, apakah kelebihan yang anda boleh dapat daripada melancong? Berikut saya kongsikan 4 kelebihan melancong yang anda perlu tahu.

 

Membuat Anda Lebih Bahagia

Melancong dapat menjadikan anda lebih gembira. Percaya atau tidak? Kerana dengan aktiviti melancong ini, ia dapat menjauhkan diri anda daripada kesibukan harian yang anda lalui. Jadi, jika anda rasa seperti kurang semangat ketika berada di tempat kerja ataupun anda sedang mengalami ‘stress’, anda boleh meluangkan masa dengan pergi melancong. Tidak kiralah destinasi pelancongan anda itu dekat mahupun jauh, ‘just go for it’ orang kata. Melalui melancong, anda dapat melapangkan fikiran daripada kekusutan minda dan nikmatilah percutian anda sepenuhnya!

Apabila anda melancong, anda mungkin akan melawat satu tempat yang mempunyai pemandangan indah yang jarang anda temui dan pemandangan seperti itu tidak akan dijumpai di tempat asal anda. Mempunyai pengalaman seperti ini juga boleh membuatkan anda lebih bahagia kerana mungkin memori inilah yang bakal diingati sepanjang hidup anda! Tidak lupa juga, dengan melancong, anda dapat mencuba aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Anda mungkin juga akan berjumpa dengan kenalan baru yang boleh melupakan anda tentang masalah yang dihadapi. Kini sudah terbukti bahawa banyak kebahagiaan yang boleh anda dapat dengan melancong. 

 

Belajar Menghormati Budaya Lain

Melancong ini sebenarnya lebih daripada sekadar anda meneroka tempat baru. Salah satu kelebihan melancong ialah, ia membolehkan anda untuk menjadi lebih bertolak ansur serta berfikiran lebih terbuka terhadap budaya dan orang lain. Jika anda pergi melancong, anda akan didedahkan dengan pelbagai budaya yang mungkin asing bagi anda terutamanya apabila anda melancong ke luar negara. Pengalaman seperti ini merupakan satu peluang yang baik untuk anda berkomunikasi dengan penduduk tempatan serta mengenali budaya mereka.

Pengalaman seperti ini jugalah yang boleh mendidik dan mematangkan anda dengan memahami serta menerima kepelbagaian latar belakang orang lain. Ia mungkin akan buat anda terfikir bahawa walaupun budaya mereka kelihatan sedikit berbeza, namun kita tetap mempunyai banyak persamaan sebagai manusia. Oleh itu, belajar tentang budaya orang lain melalui buku atau berita sangat berbeza dengan pengalaman apabila anda sendiri dapat melawat dan mengenali sesebuah budaya itu.

 

Meningkatkan Potensi dan Keyakinan Diri

Apabila anda melancong, anda sebenarnya sedang melangkah keluar daripada zon selesa anda. Ketika melancong, banyak sangat perkara baru yang anda akan lalui kerana melancong bukanlah sesuatu aktiviti yang dilakukan hari-hari. Lagi pula anda berada di tempat yang asing dimana tiada seorang pun yang mengenali anda. Mungkin ini merupakan satu cabaran buat anda, akan tetapi cabaran inilah yang dapat meningkatkan tahap keyakinan dalam diri anda. 

Ketika melancong juga anda boleh lihat tahap potensi anda untuk menyesuaikan diri di tempat asing. Daripada pengembaraan ini, anda boleh belajar cara untuk menangani masalah sekaligus meningkatkan keyakinan diri. Perkara yang anda lalui ketika melancong juga dapat membantu anda untuk mengenali diri dengan lebih baik dan bagaimana anda akan tangani sesetengah masalah jika ia terjadi lagi pada masa akan datang.

 

Cipta Pengalaman Baru

Anda ingin cari pengalaman baru yang menyeronokkan? Melancong ialah satu pilihan yang tepat untuk anda. Tidak kiralah ke negara mana sekalipun, atau setidak-tidaknya melancong ke negeri lain di Malaysia pun sudah cukup memadai kerana terlalu banyak manfaat serta pengalaman baru yang menanti anda ketika melancong. Ketika melancong, anda akan teroka pelbagai benda baru termasuklah makanan, suasana sekitar mahupun kenalan.

Rugilah kalau ke tempat orang tapi tidak merasa makanan tempatan, betul? Inilah masanya untuk anda mencuba makanan yang tidak dijumpai hari-hari. Kalau anda ramah, anda juga boleh minta penduduk tempatan resepi makanan atau masakan yang anda suka. Pengalaman sebegini walaupun nampak kecil, tapi besar impaknya terhadap hidup anda. Sebagai contoh, anda boleh cuba untuk memasak sendiri masakan negeri atau negara lain sekaligus dapat mengimbau kenangan anda di tempat tersebut.

Tidak lupa juga pengalaman seperti kenalan baru dimana anda dapat berkomunikasi dengan penduduk tempatan dan bercakap bahasa tempatan. Walaupun pada zaman kini kita boleh belajar bahasa asing menerusi Internet, tetapi pengalamannya berbeza apabila kita mengpraktikkan bahasa asing itu dengan penduduk di negara tersebut.