fbpx

Tak Boleh Berjabat Tangan? Ada alternatifnya!

Covid-19 yang mulanya di kesan di Wilayah Wuhan yang terletak di China pada Disember tahun lepas telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh World Health Organization (WHO) pada 11 Mac yang lalu.

Tersebar dengan cepat dan pantas berbanding influenza, Covid-19 tersebar melalui titisan kecil atau ‘droplet’ yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap, batuk dan bersin yang mana titisan tersebut kemudian melekat pada sesuatu permukaan atau benda yang lalu disentuh dan orang yang sihat tersebut menyentuh mata, hidung dan mulut mereka.

Oleh itu, WHO telah menasihatkan keperluan penjarakan fizikal termasuk berjabat tangan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita dimana ia dianggap sebagai cara yang diterima untuk memberi salam kepada orang dan merupakan lambang kesopanan bagi hampir kesemua budaya. Hal ini kerana, kuman merebak dengan lebih pantas melalui jabat tangan sekaligus meningkatkan kemungkinan jangkitan virus.

Ternyata selain berjabat tangan, ada banyak alternatif yang boleh dipraktikkan untuk memberi salam yang tidak melibatkan sebarang sentuhan dan apa yang menariknya, sebenarnya terdapat beberapa kajian untuk menggantikan jabat tangan telah dibuat sebelum ini!

1. Melambai – ‘The Wave’

Memberi salam dengan cara melambaikan tangan kita tidak melibat sebarang sentuhan sama sekali asalkan kita tidak melambai secara berlebihan yang boleh menyebabkan orang lain rasa ‘annoying’.  Ya, berjabat tangan mungkin boleh membina hubungan yang lebih jauh berbanding dengan hanya melambaikan tangan tetapi bukankah lebih baik sekiranya kita lebih mengutamakan kesihatan?

2. Menunduk – ‘The Bow’

Etika memberi salam dengan cara menunduk yang sudah bertahun lama digunakan di Jepun ini ternyata telah jelas berguna sebagai menggantikan jabat tangan. Juga tidak melibatkan sebarang sentuhan fizikal yang berisiko tinggi menyebarkan virus, kita boleh menggunakan alternatif ini apabila bertemu keluarga ataupun orang yang tidak dikenali kerana selain menggantikan jabat tangan ianya juga adalah satu cara untuk menunjukkan rasa hormat.

3. Isyarat Namaste

Ungkapan yang digunakan oleh masyarakat yang bertutur dalam bahasa Hindi atau Urdu ini membawa maksud ‘salam sejahtera’ dan ternyata isyarat Namaste dikatakan antara cara beri salam yang boleh diterima sejagat. Isyarat ini boleh dilakukan dengan menunduk sedikit serta kedua-dua telapak tangan dirapatkan dan diletakkan pada paras dada. Sesiapa yang merupakan penggemar filem Bollywood pasti sudah ‘master’ cara untuk melakukan isyarat Namaste ini!

4. Jabat Kaki – ‘Footshake’

Presiden Tanzania, John Magufuli (kanan) ‘footshake‘ ahli politik pembangkang, Maalim Seif Sharif Hamad (kiri).

Ternyata ‘footshake’ adalah cara yang sangat baru dan semestinya tidak lazim untuk memberi salam. Namun begitu, semenjak berlakunya penularan virus Covid-19, ramai yang telah mencuba pelbagai alternatif yang tidak melibatkan sentuhan fizikal termasuk ‘footshake’. Cara ini mungkin agak biadab dan kurang berbudi bahasa, jadi lebih baik cuba ‘footshake’ dengan kawan-kawan rapat sahaja dan bukan dengan orang yang tidak dikenali!

5. Tanda Ibu Jari Ke Atas – ‘Thumbs Up’

‘Thumbs up’ juga antara alternatif yang tidak melibatkan sebarang sentuhan fizikal dan lebih bersih berbanding berjabat tangan. Tetapi kita harus berhati-hati dalam menggunakan isyarat ini kerana terdapat sebahagian negara didunia ini yang menganggap isyarat ‘thumbs up’ sebagai kurang ajar atau biadap.

6. Mengenyit Mata & Pistol – ‘The Wink & Gun’

Alternatif ini merupakan salah satu alternatif yang digunakan untuk memberi salam dengan cara yang menyeronokkan! Mengenyit mata serta membuat isyarat pistol boleh digabungkan ataupun dilakukan secara berasingan. Cara ini mungkin atau tidak mungkin bersesuaian untuk semua peringkat usia berdasarkan penerimaan masing-masing.  Apa pun, gunakanlah alternatif ini pada masa dan orang yang bersesuaian ya!

7. Penumbuk – ‘Fist Bump’

Kelebihan ‘fist bump’ adalah kita dapat mengelakkan jari-jemari  serta tapak tangan orang lain yang tidak dapat disangkal lagi penuh dengan bakteria. ‘Fist bump’ juga dapat mengurangkan kemungkinan kuman daripada merebak kerana jarang sekali orang menyentuh sesuatu benda atau permukaan menggunakan bahagian belakang tangan. Meskipun begitu, risiko untuk virus merebak masih ada kerana melibatkan sentuhan fizikal.

8. Siku  – ‘Elbow Bump’

‘Elbow Bump’ yang mula muncul semasa penularan virus Ebola ini kini muncul kembali. Cara memberi salam yang hanya melibatkan sentuhan siku ini dikatakan boleh digunakan sebagai salah satu alternatif kepada jabat tangan kerana siku tidak digunakan untuk menyentuh sesuatu maka ianya lebih bersih berbanding telapak tangan. Walau bagaimanapun, ‘elbow bump’ adalah sangat tidak digalakkan kerana kita telah dinasihatkan untuk batuk dan bersin di bahagian dalam siku kita. Tambahan pula, ternyata terdapat perbalahan bahawa penyakit berjangkit boleh hidup lebih lama pada pakaian dan kulit kita.

Alternatif-alternatif menggantikan jabat tangan ini berkemungkinan akan menjadi kebiasaan kita kelak di masa hadapan melihat kepada apa yang diberitahu oleh Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan dimana usaha dunia untuk menangani serta mengawal Covid-19 dengan efektif mungkin mengambil masa empat sehingga lima tahun lamanya bahkan dunia mungkin perlu bersedia untuk hidup dengan Covid-19 selamanya. Jadi, adalah wajar untuk kita mengubah cara ‘greeting’ yang tidak melibatkan sebarang sentuhan demi menjamin keselamatan dan kesihatan diri.