fbpx

Anda Bakal ke Jeju? Jom Cuba Snek & Minuman Yang Diperbuat Dari Buah Oren Ini!

Jeju amat terkenal dengan tanaman buah orennya. Ia juga merupakan salah satu daripada tanaman pertanian utama di Jeju. Jika anda ke Jeju pada musim luruh, anda akan dapat melihat pokok-pokok dan ladang oren di sepanjang jalan di Pulau Jeju ini. Dan jangan terkejut andai anda boleh ternampak pokok oren ini di lapangan terbang Jeju juga!

Oren-oren ini selain dimakan begitu sahaja, ekstraknya juga digunakan untuk membuat pelbagai jenis produk di Jeju.

Diantaranya:-

1. Kerepek Oren Jeju

Kerepek oren ini merupakan antara salah satu produk oren utama di Jeju. Selain rasanya yang sedap dan rangup ia juga boleh dijadikan ‘healthy snacking’ bagi mereka yang mementingkan pemakanan yang berkhasiat. Ini kerana kebiasaannya ia di hasilkan hanya menggunakan buah oren segar semata-mata dan dikeringkan tanpa ditambah gula, perasa atau pewarna tambahan. Pastikan anda mencuba kerepek oren ini jika anda berpeluang melancong di Pulau Jeju!

2. Jeju Tea

Penduduk Jeju amat menggemari minuman teh. Jadi mereka juga menghasilkan teh daripada ekstrak oren dan hanya ditambah madu. Selain rasanya yang sangat sedap, ianya juga amat bagus untuk melegakan demam, batuk dan selsema kerana kandungan Vitamin C nya yang sangat tinggi. Boleh dibancuh sejuk ataupun panas mengikut selera masing-masing. Ia juga sesuai dijadikan cenderahati untuk keluarga dan sahabat handai anda.

3. Aiskrim Oren

Ini adalah antara kegemaran rakyat Malaysia jika ke Pulau Jeju. Aiskrim oren Jeju adalah sesuatu yang wajib dicuba jika anda datang melancong ke Pulau Jeju. Kebiasaannya aiskrim oren ini akan dituangkan sos oren diatasnya dan diletakkan kerepek oren sekali. Rasanya sangatlah sedap. Rugi rasanya kalau datang ke Jeju tapi tidak mencuba aiskrim ini.

4. Jus Oren

Anda akan dapat melihat jus oren ini di merata-rata tempat dan kedai di Jeju. Jus oren ini dihasilkan daripada buah oren semata-mata tanpa ditambah air dan juga gula. Kebiasaannya ia dijual sejuk dan rasanya berbeza mengikut jenis-jenis orennya. Anda boleh mencuba jus oren Hallabong atau jus oren Cheonhyang. Kedua-dua rasanya langsung tidak akan mengecewakan dan amatlah berbaloi untuk dicuba!

5. Coklat Oren

Jika anda merupakan peminat tegar coklat, pastikan anda tidak ketinggalan untuk merasa coklat oren Jeju ini. Selain bentuknya yang unik dan pelbagai, rasanya juga sangat sedap! Ada pelbagai jenis coklat oren yang anda boleh dapati di Jeju. Yang pastinya coklat Jeju hanya terdapat di Jeju sahaja dan tidak ada di tempat lain!

Itu adalah antara sebahagian produk-produk berasaskan oren atau limau yang dihasilkan di Jeju. Jika anda melancong di Jeju jangan lupa mencuba semua produk-produk di atas ya. Pastinya anda tidak akan menyesal.

Oh ya, tak lama lagi musim luruh bakal tiba, jadi musim oren berbuah juga hanya ada pada musim luruh sahaja tau. Jangan lupa beli tiket kapal terbang awal-awal ya dan anda boleh nikmati dua musim sekaligus iaitu musim luruh dan musim buah oren. Pastinya ia akan menjadi kenangan yang paling tidak boleh dilupakan!