Anda ingin melancong, tapi anda tertanya-tanya sama ada negara yang anda ingin lawati perlu ujian PCR semasa ketibaan ataupun tidak? Bagi menjawab keraguan anda, berikut merupakan syarat terkini untuk 5 negara tentang keperluan ujian PCR.
Pakistan
Pelancong yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya tidak perlu memiliki sijil ujian negatif PCR sebelum memulakan perjalanan ke Pakistan. Hanya penumpang yang belum lengkap divaksin atau tidak menerima vaksin sahaja yang dikehendaki untuk memiliki sijil ujian negatif PCR dan harus dilakukan 72 jam sebelum memulakan perjalanan ke Pakistan.
Penumpang berumur 12 tahun dan 18 tahun dibenarkan untuk pergi ke Pakistan tanpa perlu menunjukkan sijil vaksinasi COVID-19 sehingga 31 Mac 2022. Manakala penumpang yang berumur bawah 12 tahun dikecualikan untuk menampilkan bukti sijil vaksinasi COVID-19.
Sumber: National Command and Operation Centre, Government of Pakistan
Turkey
Jika anda telah lengkap divaksinasi dan ingin pergi ke Turkey, anda tidak perlu untuk melakukan ujian PCR sebelum penerbangan. Lampiran sijil vaksinasi COVID-19 sudah cukup memadai semasa ketibaan anda di Turkey.
Penumpang yang belum lengkap divaksin atau tidak divaksin perlu menunjukkan bukti ujian negatif PCR yang dilakukan 72 jam sebelum memulakan penerbangan.
Sumber: U.S Embassy & Consulates in Turkey
Switzerland
Menurut syarat terkini yang dikeluarkan oleh Switzerland, ujian PCR tidak perlu dilakukan bagi penumpang yang telah lengkap divaksin untuk memasuki ke negara ini. Ujian PCR cuma perlu dilakukan bagi penumpang yang belum lengkap divaksin dan tidak menerima vaksin. Ujian PCR itu perlu diambil dalam jangka masa 72 jam sebelum anda memulakan perjalanan ke Switzerland dan hanya keputusan ujian negatif PCR sahaja yang dibenarkan untuk meneruskan penerbangan.
Sumber: Australian Government
Vietnam
Di Vietnam, negara ini mensyaratkan semua penumpang (tidak termasuk bayi berumur 2 tahun ke bawah) untuk menjalani ujian PCR dalam tempoh 72 jam sebelum memulakan perjalanan ke Vietnam. Penumpang juga perlu menunjukkan bukti keputusan ujian negatif PCR untuk meneruskan penerbangan ke negara ini. Bagi penumpang yang sudah lengkap divaksin, anda perlu menyediakan sijil vaksinasi yang diiktiraf oleh negara Vietnam.
Sumber: Vietnam Tourism
Singapore
Singapore hanya menerima pelancong yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara ini. Bagi penumpang yang telah lengkap divaksin atau penumpang yang sudah sembuh daripada COVID-19, anda perlu lampirkan keputusan ujian negatif RTK/PCR atau surat pengesahan yang menyatakan anda telah bebas daripada COVID-19 sebelum meneruskan perjalanan ke Singapore.
Sumber: Singapore Tourism Board