fbpx

Hidden ‘gems’ Sabah!

Terdapat banyak keindahan alam semulajadi yang boleh dijumpai di Sabah. Anda mungkin terpesona dengan Gunung Kinabalu yang megah dan Kundasang yang indah, tetapi ada bahagian lain di Sabah yang patut anda jelajahi.

Dari tempat percutian semula jadi yang holistik hingga pulau-pulau yang menakjubkan, Sabah Borneo mempunyai apa yang diperlukan untuk memenuhi keinginan anda. Tidak dinafikan bahawa Sabah mempunyai begitu banyak tawaran kepada pengunjungnya dari segi lokasi pelancongan yang hebat, tetapi tahukah anda bahawa ia mempunyai beberapa tempat menarik yang tidak diketahui oleh sesetengah orang tetapi benar-benar dianggap sebagai ‘hidden gems’?

Danum valley conservation centre, Lahad Datu

Lembah Danum adalah kawasan tadahan luas yang juga habitat kepada badak sumbu Sumatra, gajah Asia, harimau dahan, kera bangkatan, Orang Utan, ungka, kancil serta harimau bintang. Ada sebanyak 300 spesies burung yang direkodkan di kawasan ini. Sangat menakjubkan dan menarik.

Aktiviti di Lembah Danum pastinya tidak lengkap jika tidak mencuba berjalan di atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan itu. Bagi yang gayat, pastinya pemandangan dari atas titi gantung mampu melupakan seketika kerisauan berada di tempat tinggi.

Kepada para pencinta alam di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk menerokai sendiri keindahan alam di Lembah Danum. Anda boleh pergi secara berkumpulan supaya lebih seronok.

Maliau basin conservation centre, Sandakan

Maliau Basin Conservation Area adalah kawasan hutan yang menyeronokkan untuk aktiviti memerhati burung dan merentas hutan. Untuk aktiviti merentas hutan, ia boleh dilakukan pada malam hari untuk melihat haiwan liar yang bebas di habitat mereka.

Kalau anda betul-betul serius ingin menerokai hutan ini, jangan lupa untuk memakai pakaian dan kasut yang sesuai, penting juga untuk memakai stokin yang dapat menyelamatkan anda daripada pacat, dan dinasihatkan untuk anda memakai penolak serangga ataupun insect repellent pada kulit.

Menerokai hutan ini memang mencabar dan tidak begitu sesuai untuk kanak-kanak dan untuk orang yang kurang stamina.

Bukit piniapat, Pitas

Jika anda seorang yang minat hiking ke bukit atau gunung, bukit ini pasti menjanjikan pemandangan yang lain daripada yang lain. Dengan pandangan menghadap laut, Bukit Piniapat atau lebih dikenali dengan nama Piniapat Hills, terletak di Kampung Dingai, Pitas, Sabah.

Ia terletak lebih kurang 3 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah. Simpang ke Bukit Piniapat ini boleh dilihat selepas anda melalui jambatan Sungai Mempakad dari jalan Kota Marudu-Pitas.

Bukit Piniapat ini mempunyai ketinggian 141 m dari paras laut. Menariknya, nama Piniapat ini sebenarnya berasal daripada tanah di bukit ini yang mempunyai 4 orang pemilik yang merupakan adik beradik. Dalam bahasa Sabah, Piniapat bermaksud dibahagi empat.

Sebelum anda sampai ke kawasan bukit yang cantik tu, anda harus melalui jungle trekking terlebih dahulu yang terletak lebih kurang 100 meter dari pondok jualan tiket. Walau pun keadaan tanahnya agak curam dan licin, tempat tersebut telah disediakan dengan laluan trekking yang luas, telah dipasang tali dan papan tanda.

Boleh dikatakan seluruh kawasan Bukit Piniapat ini sangat insta-worthy dan setanding dengan pemandangan di luar negara seperti di Jogjakarta mahu pun Bali.

Lasau Podi, Kota Belud

Lasau Podi adalah salah satu rahsia yang tersembunyi di Sabah, pelancong disini juga sangat kurang. Terletak di Kota Belud, Lasau Podi lebih dikenali sebagai salah satu kawasan untuk melihat bintang yang terbaik di Sabah di mana anda dapat melihat Bima Sakti pada malam yang sangat gelap. Walaupun jalan menuju ke tempat ini dapat diakses, hampir tidak ada kemudahan yang tersedia, jadi bersiaplah untuk mengatasinya di alam liar.

Alternatif terbaik untuk bermalam disini adalah dengan berkhemah, anda dapat menikmati pemandangan bukit yang menakjubkan dan semestinya pemandangan seperti ini tidak dapat dilihat di tempat lain di Malaysia.

Hounan Ridge Farm, Bundu Tuhan

Betul ke ini Malaysia? Macam susah nak percaya, lihat sahaja keindahan alam di sekitar Hounon Ridge Farmstay & Camping ini, dengan rumput yang menghijau dan pemandangan kawasan bukit dan gunung, terasa macam tak mahu ditinggalkan tempat penginapan ini di hari terakhir penginapan.

Sambil menikmati keindahan alam, jangan lupa untuk membawa bahan-bahan untuk berbbq, fasiliti bbq disediakan, tapi arang perlu dibawa sendiri.

Dah puas makan-makan, anda boleh berjalan-jalan di sekitar farmstay ini untuk melihat keindahan taman yang ditumbuhi pelbagai jenis bunga. Jangan lupa untuk membawa kamera!

Maragang Hill, Kundasang

Terletak di kaki Gunung Kinabalu, Maragang Hill memiliki ketinggian mencecah 2232 meter dari paras laut. Sekiranya anda memiliki impian untuk menawan kemuncak Kinabalu, pendakian menuju ke puncak bukit ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan sebelum ekspedisi yang sebenar.

Walaupun berada di kaki gunung, pendakian ke puncaknya mengambil masa sehingga hampir dua jam dengan kepanjangan sekitar 4 km. Agak memenatkan, namun pemandangan yang menanti di puncaknya bakal membuatkan segala kepenatan hilang sekelip mata.

Untuk pengetahuan anda, di puncak ini terdapat sebuah platform yang sesuai untuk dijadikan lokasi bergambar. Di sinilah anda boleh berselfie dengan pemandangan indah Gunung Kinabalu sebagai latar belakang.