Ramai ke penggemar-penggemar drama Korea? Semestinya ya! Tidak dapat disangkal lagi seluruh dunia masih lagi mengalami demam Korea. Bukan sahaja Kpop, malahan juga drama-drama Korea. Memang tak bolehlah kalau tak layan drama Korea dengan barisan-barisan pelakonnya yang hebat, berbakat, kacak dan cantik-cantik belaka!
Plot dan jalan cerita drama-drama Korea juga tidak kurang hebatnya! Sebab itu ramai yang memilih untuk menonton drama Korea kerana penceritaannya yang membuatkan kita tak sabar dan tertanya-tanya untuk menonton episod seterusnya. Untuk pengetahuan semua, drama Korea juga sangat terkenal dengan sinematografi yang cantik serta sering menunjukkan landskap-landskap dan tempat-tempat menarik di Korea!
Jadi, di sini kami akan kongsikan lokasi-lokasi yang sangat ‘instagram-worthy’ di Korea!
1. Pocheon Art Valley – ‘Scarlet Heart Ryeo’
Disinilah adegan dimana Hae Soo menyelamatkan seorang budak lelaki yang lemas dan tiba-tiba dia kembali ke zaman dahulu. Percaya atau tidak, Pocheon Art Valley ini dulu merupakan kuari granit yang telah diubah menjadi ruang kebudayaan dan kesenian. Cantik kan pemandangannya?
2. Noksapyeong Overpass – ‘Itaewon Class’
Sesiapa yang suka menonton ‘Itaewon Class’ mesti tahu lokasi penggambaran ini! Disinilah Park Sae Royi dan Yi Seo selalu berborak dan lepak di dalam ‘Itaewon Class’. Rupa-rupanya Noksapyeong Overpass yang terletak di Itaewon ini sudah pun terkenal diantara ‘avid travelers’ kerana ia menawarkan pemandangan N Seoul Tower dan Gunung Namsan yang menawan hati!
3. Garden of Morning Calm – ‘Love in the Moonlight’
Garden of Morning Calm menawarkan suasana yang indah dimana tumpuan diberikan kepada keindahan semula jadi negara ini dengan mempamerkan susunan bunga bersesuaian dengan persekitaran. Di taman inilah Lee Young dan Ra-On selalu berjumpa di dalam drama ‘Love in the Moonlight’. Banyak bunga-bunga cantik dan berwarna-warni, rugi kalau tak ke sini bila ke korea nanti!
4. Jangsado Sea Park – ‘Uncontrollably Fond’
Taman ini dapat dilihat di episod 7 drama ‘Uncontrollably Fond’ dimana Noh Eul akhirnya menemui Shin Joon Young tidur di bangku di sebuah pulau yang tidak diketahui setelah menghilangkan diri selama sehari. Terletak di sebuah pulau kecil, ia mengambil masa hanya 15 minit dengan menaiki feri dari Bandar Geoje. Jangsado Sea Park terkenal dengan bunga camelia merah yang mekar semasa musim sejuk, hydrangea cantik pada musim panas serta pokok-pokok yang menghijau. Tiket masuk Jangsado Sea Park ini Cuma 10,000 won sahaja!
5. Jade Garden – ‘Angel’s Last Mission: Love’
Bahagian luar bangunan utama di Jade Garden muncul sebagai rumah Lee Yeon Seo di dalam drama ‘Angel’s Last Mission: Love’. Bahagian luar sahaja sudah cantik, bagaimana pula dengan bahagian dalam kan? Ada juga penggambaran drama-drama lain yang dilakukan di bahagian lain taman ini termasuk drama ‘Extraordinary You’, ‘Moorim School’ dan ‘Love Rain’!
6. Seoul Book Bogo – ‘Hotel Del Luna’
Seoul Book Bogo merupakan kedai buku terpakai yang pertama di Korea dibuka pada tahun 2019. Kedai buku yang dahulunya merupakan gudang telah diubah untuk menempatkan lebih 120,000 buku terpakai. Kedai buku terpakai ini muncul di episod 2 drama ‘Hotel Del Luna’ tau!
7. Jumunjin Breakwater – ‘Goblin’
Jumunjin Beach di Gangwon merupakan antara lokasi penggambaran yang paling terkenal! Apa tidaknya, peminat-peminat drama ‘Goblin’ yang pernah mencatatkan ‘rating’ paling tinggi ini pun terlalu ramai. Ji Eun Tak dan Kim Shin bertemu buat kali pertama disinilah kerana dia tidak sengaja menyeru atau memanggil Kim Shin ketika sedang bersedih.
8. Tangeum Lake Rainbow Bridge – ‘Crash Landing on You’
Di Tangeum Lake Rainbow Bridge inilah Seo Dan dan Seungjoon mengaku saling mencintai antara satu sama lain di dalam drama ‘Crash Landing on You’. Jambatan ini dikenali kerana pemandangan malamnya yang indah, lampu pelangi di jambatan ini mula berkelip pada pukul 7:30 petang sehingga 10 malam setiap hari. Betul-betul cantik!
9. Hantangang Sky Bridge – ‘What’s Wrong With Secretary Kim’
Jambatan yang terletak di Pocheon ini dibuka pada Mei tahun 2018 dengan panjang 200 meter dan tinggi 50 meter. Hantangang Sky Bridge muncul di episod 7 drama ‘What’s Wrong With Secretary Kim’ ketika Lee Young Joon dan Kim Miso bercerita tentang zaman kanak-kanak mereka. Bonus! Penggambaran ‘first date’ Ri Jeong Hyeok dan Yoon Seri di Korea Selatan di dalam drama ‘Crash Landing on You’ juga dilakukan di jambatan ini!
10. Mokpo Modern History Museum – ‘Hotel Del Luna’
Bahagian luar bangunan Mokpo Modern History Museum ini telah digunakan sebagai bahagian eksterior Hotel Del Luna yang dimiliki Jang Man Wol di dalam drama tersebut. Bangunan yang tersergam indah dengan warna yang menarik ini semestinya merupakan tempat yang bagus serta cantik untuk menangkap gambar!
11. Jeju Salt Beach – ‘Missing 9’
Jeju semestinya terkenal dengan pantai-pantai yang cantik dan Jeju Salt Beach merupakan salah satu daripadanya. Pantai yang memiliki ombak yang cantik ini menjadi semakin terkenal setelah dijadikan lokasi penggambaran drama ‘Missing 9’!
12. Taebaek – ‘Descendants of the Sun’
Taebaek merupakan salah satu lokasi penggambaran yang unik! Sudahlah terkenal dengan Taebaeksan Mountain Snow Festival setiap tahun, Taebaek menjadi semakin dikenali setelah majoriti penggambaran drama ‘Descendants of the Sun’ dilakukan disini. Siapa sangka Taebaek yang sepatutnya dimusnahkan telah dibina semula untuk menarik pelancong yang merupakan peminat-peminat tegar drama ini!
13. Korean Folk Village – ‘The Moon That Embraces The Sun’
Di Korean Folk Village, adat dan gaya hidup generasi terdahulu telah dipelihara dengan baik. Pelbagai gaya hidup yang berlaku semasa Dinasti Joseon dapat dilihat disini. Bagi drama ‘The Moon That Embraces The Sun’, majoriti penggambaran dilakukan di kampung ini. Penggambaran adegan jalan, pasar-pasar dan suasana malam di dalam drama tersebut semua di buat di sini! Sebenarnya, banyak juga penggambaran drama-drama bersejarah yang dilakukan di sini termasuk ‘100 Days Prince’, ‘Arang and the Magistrate’ dan lain-lain lagi.
14. Hotel Seine – ‘Hotel Del Luna’
Betul ke kita boleh menginap di Hotel Seine ni? Tak boleh! Dahulu ia merupakan hotel tetapi hotel lama ini telah diubahsuai menjadi café dan bar 6 tingkat termasuk ‘rooftop’ dan ruang bawah tanah menjadikan ia cafe bertemakan hotel. Majoriti bahagian interior bangunan café inilah yang digunakan sebagai interior Hotel Del Luna! Seperti yang kita lihat dalam drama tersebut, interiornya sangat cantik dan hebat. Apa yang menariknya, setiap tingkat di hotel ini menawarkan tema yang berbeza. Unik bukan? Mesti cantik kalau dapat tangkap gambar!
Wah! Banyak betul tempat-tempat cantik dan menarik di Korea yang telah dijadikan lokasi penggambaran ya. Wajib pergi ni bila melancong ke sana. Apa lagi? Jangan lupa masuk lokasi-lokasi ini dalam ‘bucket list’ anda semua juga ya!