Penularan pandemik Covid-19 ternyata menyebabkan berlakunya perubahan yang besar terhadap semua aspek termasuk sektor perniagaan, alam sekitar, ekonomi, kehidupan harian dan lain-lain lagi. Setiap individu telah pun dinasihatkan dan disarankan untuk bersiap sedia bagi menghadapi norma sosial yang baharu semasa dan selepas Covid-19 demi menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing yang masih belum tentu terjamin selepas berakhirnya pandemik tersebut.
- Tidak mengunjungi tempat yang sesak dan tertutup
Jika kebiasaannya ramai yang memilih untuk menghabiskan masa pada hujung minggu dengan mengunjungi pusat membeli-belah yang penuh sesak sebelum Covid-19, berkemungkinan akan memilih untuk menetap dan menghabis masa kualiti bersama keluarga dirumah selepas Covid-19.
2. Amalan beratur
Sepanjang perintah kawalan pergerakan, keperluan amalan jarak sosial adalah diwajibkan terhadap setiap individu tidak kira sama ada di bank, pasaraya mahupun platform pengangkutan awam, semua orang diwajibkan untuk beratur dengan jarak 1 meter dari individu di hadapan dan belakang bagi mengelakkan kontak rapat. Justeru, sisa-sisa amalan jarak sosial diharapkan dapat menerapkan amalan beratur dalam kehidupan seharian selepas Covid-19.
3. Cara menjamu selera
Selepas Covid-19 berakhir, cara pemakanan sosial kita di luar seperti di kafe, restoran mahupun tempat kemudahan makanan akan sedikit sebanyak berubah kerana khuatir akan di jangkiti wabak. Pengutamaan terhadap premis makanan yang bersih dan thoyibban perlu diserapkan di dalam diri bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan wabak. Pemilik restoran juga tidak seharusnya mengambil ringan tahap kebersihan restoran mereka.
4. Keperluan jarak fizikal
Sebelum terjadinya penularan Covid-19, berjabat tangan dan berpelukan adalah merupakan kebiasaan bagi setiap individu tidak kira antara keluarga mahupun rakan sekerja. Kita tidak pernah sama sekali menghiraukan virus yang mungkin akan tersebar akibat daripada sentuhan fizikal tersebut. Pengalaman Covid-19 mengajar manusia untuk lebih peka dan berhati-hati dari melakukan sebarang sentuhan fizikal yang berisiko menyebarkan virus.
Pengalaman pahit pandemik Covid-19 memberikan banyak pengajaran dalam diri kita. Siapa sangka situasi dan keadaan yang tidak dapat dibayangkan iaitu keadaan biasa yang sedang kita lalui ini berkemungkinan akan menjadi kebiasaan yang selamanya.