fbpx

Industri Kuda Dan Kosmetik Di Jeju, Korea Selatan.

Industri kuda di Jeju bermula.

Seperti kata pepatah lama, “Kirim kuda ke Jeju dan orang ke Seoul.”

Tahukah anda, lebih dari 50% kuda Korea Selatan berada di Jeju. Ini menunjukkan industri penternakan Jeju memainkan peranan yang besar dalam pembangunan ekonomi di Korea Selatan khususnya Jeju sendiri.

Bagaimana industri penternakan kuda di Jeju bermula? Iyalah, dengan kedudukan Jeju sebagai pulau pastinya kita hairan bagaimana kuda dibawa masuk ke Jeju. Jawapannya, pada abad ke-13 spesies kuda ini dibawa masuk ke Jeju dari Mongolia.

Kuda yang berasal daripada Mongolia ini antara baka terlasak dan kuat.

Ladang kuda di Jeju-do bermula sekitar tahun 1276 semasa Kerajaan Goryeo (918-1392) di bawah Raja Chungnyeoul, apabila Kublai Khan, cucu Genghis Khan membawa bersama-sama 160 ekor kuda dengan kapal ke pulau itu. Orang-orang Mongol mendapati Jeju merupakan tempat yang sesuai untuk menternak kuda disebabkan persekitaran semula jadi.

Adalah benar untuk menganggap bahawa dominasi Mongolia adalah pemangkin untuk pengembangan teknologi penternakan kuda di Jeju.

Memiliki otot yang besar dan ‘sado’ antara sebab ia adalah baka terbaik.

Baka kuda di Jeju diberikan nama Jejuma dan ia merupakan baka kuda terbaik di Korea Selatan.

Kini industri kuda di Jeju dibangunkan secara meluas. Jeju telah menjadi syurga untuk peminat kuda dan pelancong yang sukakan aktiviti luar. Banyak lokasi tumpuan menawarkan perkhidmatan menunggang kuda. Ianya satu memori yang indah bagi pelancong.

Daging kuda adalah tinggi protein dan rendah lemak.

Jangan tak tahu, memakan daging kuda mentah juga adalah antara yang popular di Jeju. Kuda juga termasuk di dalam “Three Black Treasure” di Jeju.

Dikatakan juga pada zaman dahulu lembu amat susah untuk didapati di Jeju kerana lembu digunakan untuk kegiatan aktiviti di sawah. Jadi untuk mendapatkan sumber protein, masyarakat Jeju akan memakan daging kuda.

Kosmetik daripada sumber kuda.

Lemak kuda digunakan untuk tujuan kecantikan dan awet muda. Tak nak cuba ke?

Selain menjadikan daging kuda sebagai sumber protein, masyarakat Jeju juga menghasilkan produk kecantikan dan kalsium daripada sumber kuda. Pasti ada rasa pelik kan?

Negara Korea dan pengeluaran produk kosmetik memang tidak asing lagi. Namun, terdapat juga segelintir masyarakat yang tidak tahu bahawa terdapat produk kosmetik yang dihasilkan daripada lemak kuda yang dikeluarkan oleh negara Korea terutamanya di Jeju.

Antara krim kuda yang menjadi pilihan.

Minyak ini dihasilkan dari lemak kuda yang mengandungi tinggi alpha-Linolenic acid dan pati lemak asid yang tidak boleh dihasilkan dari badan manusia. Minyak ini sama komposisi seperti kelenjar sebum manusia dan membolehkan minyak itu menyerap masuk ke dalam kulit tanpa kesan melekit. 

Penggunaan produk ini telah dijadikan amalan kecantikan sejak beratus tahun dahulu. Terdapat banyak jenis produk kecantikan yang dihasilkan daripada minyak kuda seperti krim muka, syampu, lipstik, pelembab, losyen dan banyak lagi. 

Dengan teknologi terkini, anda juga boleh mendapatkan khasiat dalam bentuk pil.

Selain itu, serbuk tulang juga digunakan untuk menghasilkan produk kesihatan yang mengandungi kalsium yang tinggi. Produk ini dihasilkan dalam bentuk pil untuk penggunaan pada masa kini.

Kini industri kuda di Jeju semakin memberangsangkan dengan permintaan sektor kosmetik dan kecantikan, malahan sektor pelancongan juga memberikan perkembangan yang baik. Kedua-duanya ini saling berkaitan dan ianya bagus untuk pembangunan ekonomi di Jeju.

Jika anda ke Jeju, jangan lupa ambil peluang menunggangi kuda di sana atau membeli produk-produk berasaskan kuda ini.