Berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia baru-baru ini, ramai yang telah menangguhkan dan membatalkan perjalanan ke luar negara.
Walau bagaimanapun, anda sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan lain termasuk percutian di dalam negara yang tidak kurang hebatnya. Banyak tempat menarik yang sesuai dan boleh dilawati bersama rakan-rakan serta keluarga selepas berakhirnya Covid-19.
Malaysia sendiri menawarkan banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi seperti tempat peranginan tanah tinggi, taman rekreasi air terjun, tempat peninggalan sejarah, taman tema, pulau-pulau cantik dan macam-macam lagi.
1. Taman Negara, Pahang
Taman Negara Pahang yang merupakan taman negara terbesar di semenanjung Malaysia ini boleh dikunjungi sama ada melalui jalan darat ataupun merasai pengalaman menaiki bot menyusuri Sungai Kuala Tembeling. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dibuat di sini termasuk menyusuri Canopy Walkway, melawat perkampungan Orang Asli, rapid shooting, jungle trekking dan lain-lain lagi.

2. Kundasang, Sabah
Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi, kira-kira 1.9 kilometer tinggi dari paras laut yang terletak di daerah Ranau di Sabah. Kawasannya yang strategik terletak di kaki pergunungan tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu menyebabkan ia terkenal dengan daya tarikan yang unik dan tersendiri. Pekan Kundasang menjanjikan iklim yang sejuk dan nyaman serta pemandangan yang sangat cantik seolah-olah bercuti di luar negara.

3. Kampung Agong, Pulau Pinang

Menawarkan suasana kampung yang aman dan damai dikelilingi pagar buluh, deretan pohon kelapa dan rumah kayu lama, Kampung Agong yang ‘instagram-worthy’ ini adalah salah satu tempat yang wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemar akan panorama kampung. Selepas puas bergambar, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti kampung seperti berbasikal, bermain congkak, memancing, menyewa pakaian tradisional, mengutip kelapa dan belajar meraut pelepah kelapa untuk dibuat lidi.

4. Pulau Rawa, Johor
Pulau Rawa adalah sebuah pulau yang diibaratkan bagai mutiara yang tersimpan rapi. Pulau yang digelar “Maldives Johor” ini merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di Johor 16 kilometer dari Mersing. Apa yang menariknya tentang pulau ini adalah keindahan semula jadinya yang sangat terjaga, air laut yang jernih kebiru-biruan serta pasir yang memutih. Pulau Rawa ternyata menawarkan lebih daripada aktiviti pulau biasa, tidak cukup dengan mandi, pengunjung boleh alami sendiri pemandangan dalam air dengan melihat batu karang dan ikan-ikan yang cantik berenang di persisiran pantai.


5. Sasaran Sky Mirror, Selangor
Sasaran Sky Mirror merupakan tarikan terbaru di Kuala Selangor yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Kampung Sasaran, Kuala Selangor. Sky Mirror di Kuala Selangor ini diberi gelaran Salar De Uyuni Malaysia kerana fenomenanya yang agak sama dengan cermin semula jadi terbesar di dunia iaitu Salar De Uyuni yang terletak di Bolivia. Siapa sangka ‘Pulau Misteri’ ini seolah-olah penemuan baru sebagai pelancongan menarik di Kuala Selangor. Namun begitu, fenomena sky mirror ini hanya dapat disaksikan dua kali sahaja dalam sebulan dengan kadar harga RM80 seorang.

6. Masbro Australia Village, Melaka
Terletak 7 kilometer daripada Bandaraya Bersejarah Melaka, Masbro Village menawarkan keunikkan dan kecantikan rumahnya yang berwarna-warni dengan bentuk yang menarik sama dengan rumah di tepi pantai Melbourne, Australia iaitu Brighton Beach. Sesuai dengan pengunjung yang ingin lari dari kesibukan Bandar, sebuah rumah di Masbro Village boleh memuatkan sehingga 6 orang dan lokasinya juga agak strategik kerana terletak tidak begitu jauh dari kawasan pelancongan seperti Pantai Tanjung Bidara serta Ayer Keroh.

7. Royal Belum Rainforest, Perak
Royal Belum Rainforest terletak di Gerik, Perak berkeluasan 300,000 hektar bersamaan empat kali keluasan Singapura amatlah sesuai dengan pengunjung yang gemar akan aktiviti-aktiviti luar. Pengunjung perlu menaiki bot di Jeti Aman Jaya, Pulau Banding untuk ke Royal Belum. Royal Belum Rainforest menawarkan pelbagai tarikan yang boleh diterokai oleh pengunjung seperti perkampungan Orang Asli, flora dan fauna seperti burung enggang serta bunga rafflesia, santuari ikan di Air Terjun Ruok, Air Terjun Sungai Kooi serta Salt Lick iaitu kawasan dimana terdapatnya garam mineral terkumpul.

Ternyata terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Malaysia. Tak usah risau atau bersedih sekiranya tidak dapat melancong ke luar negara apabila Covid-19 berakhir kerana bimbang akan keselematan dan kesihatan diri. Cukuplah melancong di dalam negara kerana Malaysia menawarkan pelbagai destinasi yang setanding dengan luar negara.