fbpx

12 Tasik Menakjubkan Di Dunia!

Percaya atau tidak, jumlah tasik yang dijumpai di seluruh dunia adalah dikatakan sebanyak 117 juta buah tasik. Banyak bukan?

Ternyata tasik-tasik cantik ini mempunyai asal usul yang berbeza. Ada yang sama tua usianya dengan bumi kita, ada di antara tasik ini yang dihuni oleh haiwan atau burung yang luar biasa dan ada juga tasik yang kecantikannya telah diubah oleh peradaban manusia.

Namun begitu, setiap tasik menawarkan keajaiban, kecantikan dan keunikan alam semula jadi tersendiri yang berbeza.

Air biru yang bersih dan jernih, pemandangan sekeliling yang mempesonakan serta suasana yang tenang sudah tentu menjadikan tasik-tasik ini tarikan utama terutamanya dikalangan pengunjung yang merupakan pencinta alam semula jadi.

Berikut kami kongsikan antara tasik yang paling cantik dan menakjubkan di dunia!

1. Laut Mati, Jordan

Sambil-sambil berendam di Laut Mati, boleh menikmati pemandangan juga.

Laut Mati bukanlah laut seperti namanya kerana sebenarnya, Laut Mati adalah merupakan tasik garam darat yang terletak di sempadan Jordan dan Israel!

Tasik air masin ini sama sekali tidak mempunyai kehidupan seperti rumpai laut, ikan atau hidupan lain di dalam dan persekitaran perairian biru kehijauannya kecuali mikroorganisma dan alga.

Apa yang menariknya, tasik air masin ini sangat berkhasiat! Selain boleh melegakan sakit otot dan artritis, komponen air Laut Mati mampu menyembuhkan masalah kulit seperti jerawat, psoriasis dan selulit menjadikan ia destinasi popular untuk merawat penyakit kulit.

Apa lagi? Bolehlah masukkan dalam ‘bucket list’ ya!

2. Tasik Tahoe, Amerika Syarikat

Jernihnya air di Tasik Tahoe!

Tasik yang berusia lebih 2 juta tahun ini merupakan tasik alpine terbesar di Amerika Utara sedalam kira-kira 1,645 kaki.

Apa yang istimewanya, Tasik Tahoe terletak di dua tempat sekaligus! Bunyi mustahil kan? Tetapi ternyata lebih kurang 2/3 daripada Tasik Tahoe terletak di Carlifornia dan 1/3 lagi terletak di Nevada.

Untuk pengetahuan, air di Tasik Tahoe ini adalah 99.94% tulen menurut ‘Tahoe Fund’ menjadikannya tasik air tulen terbesar di dunia.

Peh! Tasik Tahoe bukan sahaja menawarkan pemandangan indah yang menawan hati malahan air birunya juga tidak dapat disangkal lagi keasliannya.

3. Tasik Baikal, Russia

Cantik sungguh Tasik Baikal yang beku!
Kecantikan Tasik Baikal yang tiada tandingannya.

Tasik Baikal adalah tasik Siberia terdalam yang terletak di Russia tidak jauh daripada sempadan Mongolia dikelilingi kecantikan semula jadi gunung-ganang, hutan dan sungai.

Tasik ini merupakan tasik air tawar paling besar di dunia dari segi isipadu air dan juga merupakan tasik terdalam di dunia pada 5,314 kaki.

Fenomena ais biru kehijauan yang menakjubkan di Tasik Baikal!

Tasik Baikal terkenal sebagai antara salah satu tasik yang paling jernih di dunia. Apabila tasik membeku pada musim sejuk, satu fenomena menakjubkan berlaku dimana pecahan ais lutsinar berlaku di permukaan tasik memberikan penampilan ais biru kehijauan. Cantik sekali!

4. Tasik Attabad, Pakistan

Kalau nak tahu, air biru Tasik Attabad ini terjadi secara semula jadi! Ajaib bukan?

Siapa sangka Tasik Attabad yang cantik ini terjadi akibat daripada kejadian tanah runtuh yang menimpa Kampung Attabad di Lembah Hunza, Gilgit Baltistan yang terletak di Pakistan pada Januari 2020.

Bencana alam yang telah memusnahkan 5 kampung di kawasan berdekatan termasuk Kampung Attabad, Ainabad, Shiskat, Gulmit dan Gulkin menyebabkan 6000 penduduk tempatan kehilangan tempat tinggal.

Tragedi tersebut adalah kejadian ajaib yang telah membentuk Tasik Attabad yang kini merupakan salah satu tarikan utama untuk para pelancong. Gilgit dan Hunza sudah pun mempunyai banyak tasik gunung biru yang indah dan Tasik Attabad ternyata telah menambah kecantikan wilayah ini!

Ada juga aktiviti-aktiviti menarik seperti memancing, ski jet serta berperahu boleh dilakukan di Tasik Attabad. Menarik bukan?

5. Jökulsárlón, Iceland

Indah sungguh keajaiban dunia, kena pergi ni!

Jokulsarlon adalah merupakan tasik glasier yang terletak di Iceland dan berusia lebih kurang 1000 tahun. Dikenali juga sebagai permata mahkota Iceland, aisberg di Jokulsarlon ini betul-betul semula jadi!

Oleh itu, tiada waktu buka untuk melawat Jokulsarlon dan ia boleh dilawat sepanjang masa sepanjang tahun.

Cuma perlu diingat bahawa jalan menuju ke tasik glasier Jokulsarlon kadang-kadang perlu ditutup disebabkan oleh keadaan cuaca yang melampau.

Jadi, anda boleh semak keadaan jalan serta cuaca di laman sesawang http://www.road.is sebelum merancang untuk melawat tasik glasier ini ya!

6. Tasik Minnewanka, Canada

Siapa sangka tasik biru cantik ini sebenarnya ada 1001 rahsia kan?

Mungkin bagi orang ramai tasik ini terlihat seperti tasik biasa yang dikelilingi alam semula jadi tetapi hakikatnya, ada rahsia yang tersimpan tentang Tasik Minnewanka yang terletak di Taman Negara Banff di Canada ini.

Rupa-rupanya terdapat sebuah bandar peranginan kecil dibawah permukaan airnya yang dahulunya dikenali sebagai Minnewanka Landing!

Perubahan mula berlaku apabila sebuah projek pembinaan empangan oleh Calgary Power Co. yang dibuat telah menyebabkan air memenuhi beberapa bahagian Minnewanka Landing.

Dan akhirnya, nasib bandar kecil ini berubah selama-lamanya ketika perang dunia kedua dimana satu lagi empangan telah dibina untuk meningkatkan tenaga hidroelektrik lantas menyebabkan Minnewanka Landing ditelenggami air sepenuhnya.

Meskipun begitu, Tasik Minnewanka yang telah diubah suai oleh peradaban manusia ini kini menjadi salah satu tarikan pelancong dek kerana kecantikannya yang mempesonakan.

Tempat ini sangat ideal untuk berkelah, berbasikal gunung, mendaki, berkayak serta memancing. Menariknya, tasik ini juga adalah destinasi yang sangat menyeronokkan bagi penyelam skuba tau!

7. Tasik Hillier, Australia

Warna yang berbeza membuatkan pemandangan Tasik Hillier lebih cantik dari atas!

Terletak di Australia Barat, Tasik Hillier merupakan tasik berwarna merah jambu yang terkenal di Australia. Air tasik ini kekal berwarna merah jambu kerana kadar kandungan garamnya yang tinggi.

Sebelum ini, Tasik Hillier hanya digunakan untuk mengekstrak garam tetapi kini ianya digunakan untuk tujuan pelancongan sahaja.

Menurut lama web rasmi untuk tasik merah jambu di Australia, ianya selamat sama sekali untuk mandi dan berenang di Tasik Hillier kerana airnya tidak akan menyebabkan kerosakan pada kulit manusia.

Namun begitu, susah bagi pelancong biasa mandi dan berenang di tasik ini kerana Tasik Hillier agak sukar untuk dilawati di darat.

Tasik merah jambu ini dikatakan lebih mempesonakan dilihat dari udara kerana pelancong dapat melihat warna merah jambu yang terang dikelilingi oleh kecantikan hutan yang menghijau serta Lautan Hindi yang kebiruan.

8. Tasik Crater, Amerika Syarikat

Mempesonakan sungguh tasik kawah yang terjadi akibat letusan gunung berapi ini!

Satu lagi keajaiban yang terjadi akibat daripada berlakunya bencana alam! Tasik Crater yang terletak di Oregon, Amerika Syarikat ini terbentuk kerana gunung berapi iaitu Gunung Mazama meletus dan runtuh kira-kira 7700 tahun yang lalu.

Terkenal dengan kebiruan airnya, apa yang menakjubkan adalah air tasik ini berasal langsung daripada salji dan juga air hujan.

Tiada sumber air luar langsung! Pengunjung boleh mandi dan berenang di kawasan yang ditentukan tetapi harus berhati-hati kerana airnya begitu sejuk.

Selain bermandi-manda, terdapat pelbagai aktiviti kembara lain yang boleh dilakukan di Tasik Crater termasuklah ski, mendaki serta berbasikal.

Sesungguhnya Tasik Crater amatlah sesuai untuk pengunjung yang gemar akan aktiviti kembara serta cintakan alam semula jadi!

9. Tasik Five Flower, China

Nampak macam tipu tetapi ternyata tidak.
Keindahan Tasik Five Flower juga terserlah semasa musim sejuk ya!

Uniknya Tasik Five Flower ini, ianya juga terbentuk akibat daripada letusan gunung berapi dan jika terkena cahaya matahari, airnya akan berubah menjadi warna yang pelbagai.

Kadang kala ia bertukar menjadi  warna kuning, kadang kala ia bertukar menjadi warna hijau dan kebanyakan masa airnya kelihatan berwarna biru jernih.

Lebih uniknya, tasik yang terletak di tengah-tengah Jiuzhaigou di China ini direkodkan tidak pernah membeku pada musim sejuk walhal terdapat tasik lain di sekitar Jiuzaighou yang membeku semasa musim sejuk.

Tambahan lagi, air Tasik Five Flower ini dikatakan tidak pernah surut dan kering meskipun paras air tasik-tasik lain di sekitar Jiuzhaigou semakin surut.

Kejadian ini agak misteri bagi penduduk tempatan di Jiuzhaigou sehingga mereka menganggap Tasik Five Flower sebagai tasik suci. Mana tidaknya sudahlah unik kejadiannya, cantik pula tu tasik ini!

10. Laguna Colorada, Bolivia

Indahnya alam semula jadi ciptaan Tuhan!

Dikenali sebagai keajaiban semula jadi paling luar biasa Bolivia, Laguna Colorada terletak berdekatan dengan sempadan Chile.

Apa yang dikagumi adalah kedalaman airnya yang cuma satu meter sahaja dan warna airnya akan bertukar daripada biru tua ke merah gelap dengan cantik sekali!

Salah satu tarikan besar yang menarik minat para pelancong untuk mengunjungi tasik ini adalah kawanan flamingo disini. Tiga daripada enam spesies flamingo di dunia boleh ditemui di Laguna Colorada kerana terdapatnya jumlah plankton yang banyak di tasik ini.

Sesiapa yang ingin tengok flamingo, boleh kunjungi Laguna Colorada pada musim panas kerana tasik ini dipenuhi flamingo pada musim tersebut!

11. Tasik Plitvice, Croatia

Ternyata gelaran ‘Permata Croatia’ sangat sesuai dengan Tasik Plitvice.

Tasik Plitvice adalah tasik ‘emerald’ yang digelar permata Croatia terkenal dengan 16 tasik dan lebih 90 air terjun. Air di tasik ini berubah-ubah bergantung kepada jumlah organisma dan mineral di dalam air serta pancaran cahaya matahari dengan warnanya yang berkisar daripada warna hijau zamrud, biru tua sehingga kelabu cair.

Taman Negara Tasik Plitvice ini juga dihuni oleh fauna yang pelbagai antaranya ialah  serigala, beruang, kucing liar, kancil dan banyak lagi!

Meskipun musim sejuk agak sukar dan melampau tetapi tempat ini adalah yang terbaik untuk dikunjungi ketika musim sejuk kerana ia menawarkan keindahan dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya.

12. Tasik Gua Melissani, Greece

Cantiknya air biru Tasik Gua Melissani, memang wajib masuk ‘bucket list’!

Tasik Gua Melissani yang terletak di Greece ini diliputi gua di Pulau Kefalonia dan telah menarik banyak pelancong dek kerana kecantikan airnya yang biru jernih serta persekitaran hutannya yang menghijau.

Untuk pengetahuan semua, Tasik Melissani adalah sebuah akuifer dimana air di tasik ini adalah air laut yang telah disedut masuk ke dalam gua tersebut menjadikan airnya lebih bersih dan jernih.

Waktu yang paling elok untuk mengunjungi tasik ini adalah ketika pancaran matahari tegak di atas kepala kerana pelancong boleh menikmati kebiruan dan keindahan maksimum air tasik ini ketika cahaya matahari yang menyinari Tasik Melissani.   

Sesungguhnya terdapat pelbagai keindahan dan kecantikan alam semula jadi yang tiada tolok bandingnya ditawarkan di dunia ini. Daripada pantai ke pulau ke gunung-ganang mahupun tasik, masing-masing mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri.

Mesti semua teringin melancong ke tempat-tempat yang cantik bukan? Terutamanya tasik-tasik cantik yang telah disenaraikan! Bolehlah mula masukkan dalam ‘bucket list’ dan kumpul duit untuk kunjungi tasik-tasik tersebut selepas pandemik Covid-19 berakhir ya.