Tahun 2020 semestinya bukanlah tahun yang baik buat semua. Bumi kita yang agak tenang sebelum ini dilanda wabak virus yang belum ada penawarnya tanpa diduga sehingga mencatatkan lebih 5 juta kes dan hampir 400,000 ribu kematian di seluruh dunia.
Wabak Covid-19 ternyata diumpamakan seperti gempa bumi dimana kesan selepas bencana tersebut akan membawa perubahan dan membentuk semula bumi kita secara kekal. Sudah terang lagi bersuluhlah bahawa penularan wabak Covid-19 ini telah memaksa umat manusia untuk mengubah cara hidup dan juga cara bekerja yang dijangkakan bakal menjadi kebiasaan kita kelak pada masa hadapan.
Banyak jangkaan dan ramalan masa depan yang telah dibuat akibat perubahan yang berlaku ketika wabak Covid-19 teruk melanda dunia. Bagaimanakah dunia selepas berakhirnya pandemik Covid-19 ini?
- Lebih banyak interaksi tanpa sentuhan
Masih ingatkah lagi betapa kagumnya kita pada mulanya ciri skrin sentuh diperkenalkan? Tiada lagi bergantung pada pad kekunci, kita lebih gemar skrin sentuh yang mudah dan ‘smooth’ untuk digunakan. Namun, penularan wabak Covid-19 telah membuat kita hiper sedar bahawa setiap permukaan yang boleh disentuh cenderung untuk menyebabkan merebaknya penyakit. Oleh itu, penggunaan skrin sentuh dijangkakan akan berkurangan pada masa hadapan.
Sebelum berlakunya pandemik Covid-19, pilihan pembayaran tanpa sentuhan melalui peranti mudah alih telah mula diperkenalkan. Daya tarikan pilihan ‘contactless payment’ tanpa sentuhan fizikal untuk pembelian servis dan barang-barang diramalkan bakal meningkat kerana ramai yang mula mengehadkan apa yang disentuh.
Interface seperti interface muka serta interface mesin penglihatan yang mampu untuk mengenalpasti muka, pergerakan dan isyarat juga dijangka akan berkembang selepas berakhirnya pandemik Covid-19 kerana ianya dapat mengurangkan kadar sentuhan fizikal. Seperti sekarang, interface mesin penglihatan digunakan untuk menggunakan ciri ‘filter’ di media social contohnya, Instagram dan Snapchat.
2. Budaya membeli-belah dalam talian meningkat
Meskipun banyak perniagaan yang merasakan bahawa mereka telah selamat mendominasi perniagaan dalam talian namun, wabak Covid-19 ternyata telah membuat sistem membeli belah dalam talian seperti sesuatu yang baru kerana ia menyebabkan kebanyakan perniagaan bertukar kepada perniagaan dalam talian.
Perniagaan luar talian sebaliknya mengalami kemerosotan. Justeru, budaya membeli-belah dalam talian termasuk barang dapur, pakaian dan lain-lain diramalkan bakal meningkat selepas wabak Covid-19 kerana lebih banyak pilihan secara ‘online’.
3. Peningkatan pergantungan kepada robot
Mengapa robot? Robot bukan seperti manusia kerana ianya kebal dan tidak akan dijangkiti penyakit maka ia dilihat berguna untuk kemudahan kehidupan masyarakat sejagat kelak. Robot boleh digunakan untuk sama ada menghantar barang makanan, memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan serta berfungsi memastikan kilang supaya terus beroperasi.
Ini jelas ternyata menunjukkan dan menyedarkan kita bahawa robot berperanan penting dalam menyokong keberlangsungan hidup masyarakat tidak kira sama ada semasa pandemik Covid-19 sedang teruk menular mahupun selepas ianya berakhir.
4. Teleperubatan
Teleperubatan bermaksud penyediaan penjagaan kesihatan klinikal jarak jauh dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Banyak juga pengamal penjagaan kesihatan yang telah melaksanakan dan mengingatkan pesakit bahawa rundingan kesihatan boleh dibuat melalui video.
Sekiranya teleperubatan dilaksanakan, ianya dapat mengurangkan kesesakan di hospital ataupun klinik dan pesakit boleh mendapatkan rawatan jarak jauh tanpa perlu datang sendiri ke pusat kesihatan. Bukankah ini lebih senang dan mudah?
Walaupun, sistem teleperubatan telah dipraktikkan oleh beberapa penyedia perkhidmatan kesihatan sebelum menularnya Covid-19, namun begitu, keperluan penjarakan sosial yang telah dikuatkuasakan dalam pelbagai bidang meningkatkan minat terhadap teleperubatan.
5. Infrastruktur digital diperkukuhkan
Penularan pandemik Covid-19 telah menyebabkan orang ramai dapat menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah dan dalam keadaan terasing. Keadaan tersebut telah memaksa kita untuk mencari penyelesaian digital untuk mengadakan mesyuarat, pembelajaran, latihan dan banyak lagi ketika duduk dan berlindung di rumah.
Perjumpaan digital ini berkemungkinan akan diteruskan pada dunia pasca Covid-19 selaras dengan keperluan penjarakan sosial yang sedang dipraktikkan sekarang. Tambahan pula, perjalanan ke luar negara semata-mata hanya untuk menghadiri mesyuarat tidaklah mustahak sekiranya ianya boleh dilakukan dengan efektif melalui panggilan video.
6. Pertumbuhan pelancongan domestik
Tahukah anda bahawa pandemik Covid-19 mungkin mengambil 4 hingga 5 tahun untuk dikawal sepenuhnya? Jadi, pelancongan antarabangsa ke luar negara terutamanya ke negara yang terjejas teruk akibat virus ini seperti Amerika Syarikat, Itali dan China adalah berisiko tinggi kerana kemungkinan terdedah kepada jangkitan sangat tinggi.
Oleh itu, pertumbuhan pelancongan domestik dijangkakan berlaku selepas berakhirnya wabak Covid-19. Hal ini kerana, masyarakat rasa lebih selamat dan tenang untuk melancong di dalam negara. Maklumat serta berita tentang perkembangan virus di dalam negara juga lebih senang untuk didapati dan diikuti.
Pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan impak negatif kepada dunia tetapi ternyata banyak impak-impak positifnya juga. Impak positif penularan wabak Covid-19 mampu memudahkan serta membantu kehidupan seharian manusia di masa hadapan terpulang kepada penerimaan mereka terhadap impak positif tersebut.