fbpx

8 Pantai Yang Wajib Dilawati di Pulau Jeju

Nama Pulau Jeju sudah sinonim dengan lautan biru dan ombak putih yang memukul pantai. Ini adalah salah satu sebab pulau ini menjadi pilihan percutian masyarakat tempatan dan juga pengunjung antarabangsa. Ada yang mencari ketenangan dengan sebuah buku di tangan sambil mendengar bunyi ombak, ada juga yang mencari aktiviti sukan air untuk mencabar diri, dan ada juga yang mencari sekeping gambar untuk menjadikan bukti percutian.

Percayalah,tidak kira apa sahaja yang anda mahukan, pantai-pantai di Pulau Jeju ini mampu memberikan apa yang anda mahukan.

Jom kita saksikan keindahannya !


 

Pantai Hamdeok

Pantai Hamdeok ini terdiri daripada tiga gugusan pantai yang dikelilingi dengan kawasan lapang dan kemudahan awam seperti tempat penginapan dan kafe. Di pantai utama, apabila air surut, akan terbentuk tebing pasir yang menjadikan pantai ini selamat untuk keluarga bersama dengan anak-anak kecil. Di pantai ini juga ada banyak festival yang diadakan ketika musim panas.

Alamat Lokasi : Sinbuk-ro, Jochon-eup, Cheju, Jeju-do, South Korea


 

Pantai Hyeopjae

Pantai ini pasirnya terdiri daripada serpihan halus kulit kerang yang pecah. Pantai ini juga menjadi pilihan keluarga bersama anak kecil untuk berkelah kerana pantainya yang landai dan ombak yang memukul pantai ini sangat lembut.


Alamat Lokasi: 329-10 Hallim-ro, Hallim-eub, Cheju, Jeju-do, South Korea.


 

Pantai Gimnyeong

Pantai Gimnyeong ini adalah lebih kecil saiznya jika dibandingkan dengan pantai-pantai lain di Pulau Jeju. Terletak di sebelah timur Jeju, mengambil masa lebih kurang 40 minit daripada bandar Jeju. Pantainya yang mempunyai pasir putih, airnya yang biru kehijauan (turquoise) dengan batu-batuan gunung berapi berwarna hitam ditambah lagi dengan kincir angin gergasi di latar belakangnya menjadikannya salah satu tempat wajib bergambar di Pulau Jeju. 

Alamat Lokasi: Haemajihaean-ro, Gujwa-eupJeju, Jeju Island 63364, South Korea.


 

Pantai Gwakji Gwamul

Pantai ini masih belum diketahui sangat oleh pelancong menjadikan ia sebagai pantai tersembunyi di Pulau Jeju ini. Namun begitu, pantai ini mempunyai satu keistimewaan iaitu terdapat mata air berdekatan dengan pantai yang mengeluarkan air segar yang sejuk. Confirm segar punyalah ! Paling best, ada juga tempat mandi air mata air terbuka di pantai ini untuk anda membilas badan selepas mandi.


Alamat Lokasi: Aewol-eup, Jeju, South Korea


 

Pantai Pasir Hitam Samyang

Seperti namanya, pasir di pantai ini berwarna hitam. Pasir di pantai ini dipercayai baik untuk orang yang mempunyai penyakit seperti sakit kulit, sakit sendi, obesiti dan lain-lain lagi. Jadi tidak menjadi sesuatu yang pelik jika melihat orang baring di pantai ini dan menimbus badan mereka dengan pasir hitamnya.


 

Pantai Woljeong

Pantai ini terkenal dengan kerusi-kerusi kayu yang berwarna-warni diletakkan di sekitar pantai. Pantai ini masih lagi kurang mendapat perhatian ramai namun begitu generasi muda mula berkumpul di sini  terutamanya pasangan kekasih dan juga mereka berbulan madu setelah pantai ini dipenuhi dengan deretan kafe-kafe dengan tema yang menarik. Dengan secawan kopi, suasana pantai ini menjadi lebih bermakna lagi.


Alamat Lokasi: Woljeong-ri, Gujwa-eup, Cheju, Jeju-do, South Korea.


 

Pantai Jungmun

Pantai ini terkenal dengan pasir halus berwarna putih, hitam, merah dan kelabu yang dipanggil Jinmosal. Di pantai ini sering diadakan pelbagai aktiviti sukan air yang seperti parasailing, water skiing, scuba diving, dan lain-lain. Pantai ini juga terletak dekat dengan hotel, resort, restoran dan kemudahan-kemudahan lain. Di pantai ini juga diadakan festival penguin berenang untuk menandakan tahun baharu sudah tiba di mana peserta akan berlari masuk ke dalam laut sejuk pada bulan Januari. Berani ke ?



 

Muara Hahyo Soesokkak

Pantai ini amat unik di Pulau Jeju ini. Ia adalah tempat pertemuan sungai Swesoggak dan Pantai Hahyo Soesokkak di mana air masin dan air tawar bertemu menjadikan di permukaan air ialah air laut yang agak panas jika dibandingkan dengan air sungai yang lebih sujuk suhunya di bawah permukaan air. Dengan tebing batu yang tinggi menjadikan banyak tempat untuk aktiviti terjun tebing. Ada juga banyak kayak, bot kayuh yang boleh disewa jika anda tidak meminati aktiviti lasak.



 

Kesimpulan

Ini adalah 8 daripada pantai-pantai yang menarik di Pulau Jeju ini. Namun begitu, masih banyak lagi pantai yang boleh dijumpai di Pulau ini dengan keistimewaannya tersendiri. Bagaimana dengan anda? Apakah pantai kegemaran anda di Pulau Jeju? Kongsikan bersama di bawah.