Jika anda fikirkan ikan duyung hanyalah watak dongeng semata-mata, anda perlulah ke Pulau Jeju untuk melihat mereka dengan mata anda sendiri. Ini kerana di Pulau Jeju ini wujud sekumpulan ikan duyung yang bebas berenang dan menyelam di lautan birunya.
Siapakah mereka? Mereka adalah Heanyeo iaitu penyelam perempuan di Pulau Jeju. Heanyeo menyelam untuk mencari rezeki dalam bentuk hidupan laut seperti abalone, conch, sotong gurita, landak laut, timun laut, tiram dan lain-lain lagi. Heanyeo adalah sebahagian daripada budaya masyarakat di Pulau Jeju ini. Perkara ini disebabkan oleh kaum lelaki ramai yang mati di medan peperangan menjadikan kaum wanita terpaksa menyelam di laut untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga mereka. Kini kesemua Heanyeo di Pulau Jeju terdiri daripada kaum wanita.
Apa yang menjadikan mereka menarik adalah mereka menyelam tanpa menggunakan tangki oksigen. Secara puratanya Heanyeo menyelam sedalam 30 meter dan mampu menahan nafas selama 3 minit untuk setiap selaman. Mereka hanya menggunakan baju selaman, topeng muka, beban yang diikat di pinggang untuk memudahkan selaman, jala yang disambungkan dengan pelampung dan juga cangkul kecil untuk membantu mereka mengambil hidupan laut yang melekat di batu.
Sebelum terciptanya baju selaman yang mampu menebat haba badan, Heanyeo hanya memakai baju yang diperbuat dari kain kapas yang nipis. Ini menyebabkan mereka hanya mampu menyelam selama satu jam sebelum perlu keluar dan memanaskan kembali badan mereka di unggun api yang dipanggil bulteok selama beberapa jam dahulu sebelum menyambung semula selaman mereka. Namun kini, mereka selalunya menyelam selama 5 hingga 6 jam sekali selaman.
Namun begitu, tidak ramai generasi muda yang mahu menyelam kerana ia adalah kerja yang memenatkan dan juga membahayakan kerana Heanyeo perlu berdepan dengan risiko cuaca yang sejuk, arus laut yang tidak menentu, serangan agar-agar dan juga ikan jerung. Kini Heanyeo di Pulau Jeju ini kebanyakkannya adalah wanita yang berusia 50 tahun ke atas. Ada juga Haenyeo yang berusia 80 tahun yang masih lagi menyelam di lautan.
Bilangan mereka yang semakin berkurangan menjadikan mereka banyak mendapat perhatian dari dalam dan luar negara dan ini menyebabkan mereka disenaraikan sebagai Intangible Cutural Heritage oleh UNESCO pada tahun 2016. Anugerah ini mampu memastikan budaya Heanyeo tidak akan ditelan zaman. Kini ada beberapa buah sekolah Heanyeo yang dibuka di Pulau Jeju intuk memastikan budaya ini akan terus dikekalkan oleh generasi seterusnya.
Oleh itu, jika anda berada di Jeju, silalah luangkan masa untuk melihat ikan duyung Pulau Jeju beraksi dengan lebih dekat lagi di Seongsan Ilchulbong setiap hari pada pukul 1.30 dan 3 petang. Anda juga boleh melawat Jeju Heanyeo Museum untuk maklumat lanjut tentang ikan-ikan duyung ini.
Apa tunggu lagi ? Jom kita ke Jeju bersama-sama !