Sejak wabak Covid-19 mula merebak dan dikesan di seluruh dunia, pelbagai langkah yang telah diambil dalam perjuangan untuk mengawal wabak tersebut. Hampir kesemua pemerintah negara telah mengenakan perintah ‘lockdown’ terhadap rakyat mereka dan menguatkuasakan halangan perjalanan keluar masuk negara.
Rakyat diarahkan untuk duduk di rumah, peniaga-peniaga kecil tidak dibenarkan untuk berniaga di tepi jalan dan syarikat-syarikat perusahaan digalakkan untuk mengamalkan sistem ‘work from home’.
Meskipun langkah perintah berkurung yang diambil telah jelas ternyata mampu memulihkan bumi kita dan memberikan impak positif kepada alam sekitar. Namun begitu, apa yang mengejutkan adalah perintah ‘lockdown’ yang dikuatkuasakan bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malahan ianya dikatakan boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan manusia secara psikologinya.
Siapa sangka kesihatan mental yang lazimnya dipandang ringan rupa-rupanya cenderung untuk terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
- Kemurungan
Kemurungan atau ‘depression’ merupakan gangguan perasaan terhadap seseorang yang menyebabkan sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga. Perintah berkurung yang dikuatkuasakan telah menyebabkan rakyat untuk sentiasa duduk dirumah bagi mengelak daripada terkena jangkitan virus.
Bagi individu yang sebelum ini banyak menghabiskan masa diluar berbanding di rumah dan individu yang tinggal berseorangan terutamanya, perintah ini mungkin membuat mereka rasa tertekan seterusnya menyebabkan kemurungan kerana tidak mampu membiasakan diri dengan norma hidup yang baru serta tiada interaksi ‘face-to-face’ dengan individu lain.
2. Gemuruh
Gemuruh boleh didefinisikan sebagai perasaan yang disebabkan oleh peningkatan kewaspadaan, ketakutan serta kebimbangan. Penularan wabak Covid-19 tidak dapat disangkal lagi telah mencetuskan perasaan gemuruh dan bimbang dalam diri seseorang.
Contoh yang paling terdekat dan mudah adalah ‘panic buying’ yang disebabkan oleh kebimbangan terhadap ancaman wabak Covid-19 ini. Ramai membeli dan mengumpul topeng muka serta ‘hand sanitizer’ sehingga barang tersebut sukar didapati di pasaran.
Selain itu, ada juga masyarakat yang mula rasa cemas dan gemuruh kerana risau akan kesihatan mereka yang ada kemungkinan terjejas disebabkan oleh wabak Covid-19. Malahan, ada yang berasa takut kerana sering terdedah dengan berita palsu yang tidak munasabah mengenai wabak tersebut di media sosial.
3. Stres
Stres adalah tekanan perasaan yang disebabkan oleh tindak balas emosi, fizikal serta mental akibat perubahan sesuatu keadaan atau situasi yang berlaku dalam kehidupan seharian manusia. Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa penularan wabak Covid-19 merupakan penyumbang kepada stres.
Sebagai contoh, perintah ‘lockdown’ yang dijalankan untuk membendung Covid-19 daripada merebak telah menyebabkan peniaga-peniaga kecil tidak boleh beroperasi lalu kehilangan punca rezeki mereka. Ini secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka mula mengalami stres akibat perubahan yang secara mendadak.
Selain itu, ada juga pekerja pejabat yang bekerja dari rumah ketika perintah berkurung ini mengadu terpaksa bekerja lebih daripada waktu bekerja biasa. Bukankah ini juga merupakan salah satu penyebab stres?
Someone from my workplace said this during our e-sharing session earlier and well, I agree. pic.twitter.com/AY0FgnKxmH
— Arra (@Angeeel__x) May 15, 2020
Jelaslah bahawa wabak Covid-19 sedikit sebanyak telah mengakibatkan perubahan psikologi di dalam diri manusia tanpa mengira puncanya. Asalkan perubahan tersebut melibatkan kehidupan seharian sebagai manusia, kemungkinan untuk kesihatan mental seseorang individu untuk terkesan adalah tinggi.
Berikut adalah tips-tips untuk mengawal masalah kesihatan mental serta mengurangkan impak psikologi terutamanya ketika penularan Covid-19 masih teruk melanda dunia.
1. Cuba elakkan sebarang spekulasi dan cari sumber sahih tentang wabak tersebut
Spekulasi serta khabar angin yang tiada sumbernya dapat menimbulkan kegelisahan dan rasa cemas dalam diri. Maka, kelebihan memiliki maklumat yang berkualiti mengenai wabak tersebut boleh membuat diri rasa terkawal.
2. Sentiasa berhubung dengan orang lain
Semasa mengalami stres, adalah lebih baik sekiranya kita mempunyai peneman sama ada rakan atau ahli keluarga untuk menyokong kita. Jadi, cuba untuk terus berhubung dengan rakan-rakan dan ahli keluarga melalui telefon, email dan juga media sosial. Boleh juga menghubungi talian bantuan untuk sokongan emosi sekiranya segan dan malu untuk meluahkan perasaan kepada orang yang dikenali.
3. Cuba untuk menjangkakan kesusahan
Tidak mengapa sekiranya ada rasa terbeban ketika kita membaca berita mengenai wabak Covid-19, terutama sekali jika pernah mengalami trauma dan masalah kesihatan mental sebelum ini. Apa yang paling penting adalah untuk mengakui perasaan tersebut dan sentiasa mengingati diri untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental.
4. Tidak membuat sebarang andaian
Janganlah cepat melenting dan sesuka hati menilai seseorang serta elakkan daripada terus membuat kesimpulan tentang individu yang bertanggungjawab atas penularan wabak ini. Covid-19 ternyata boleh menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja tidak kira jantina, bangsa mahupun agama.
5. Urus cara mengikuti wabak di media dengan baik
Sejak awal mulanya Covid-19 menular, ternyata ada liputan berita yang luas mengenai wabak tersebut. Sekiranya sumber satu berita menyebabkan rasa tertekan dalam diri kita, maka ada baiknya kita mencari keseimbangan. Tidak elok untuk elak daripada membaca semua berita kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu memberi maklumat penting serta mendidik diri kita mengenai wabak tersebut. Namun begitu, terhadkan pembacaan jika ianya menyebabkan gangguan perasaan.
Dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental antara satu sama lain, kita boleh mengurangkan impak psikologi serta mengatasi masalah kesihatan mental. Ingat! Kesihatan mental juga boleh membunuh. Justeru, sentiasalah menghubungi rakan-rakan serta ahli keluarga untuk bertanya khabar ya!